UTeM iktiraf sumbangan ahli akademik

Masa Membaca:1 Minit, 13 Saat

DURIAN TUNGGAL 5 Okt. – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) mengiktiraf pencapaian dan sumbangan kakitangan akademiknya menerusi Majlis Anugerah Akademik Universiti (AAU) 2019.

Naib Canselor UTeM Prof Datuk Wira Dr. Raha Abdul Rahim berkata, program itu bagi membudayakan ekosistem akademik universti supaya lebih segar dan dinamik.

“Semua penerima dipilih berdasarkan kepada sumbangan terhadap pembangunan akademik khususnya dalam meningkatkan kecemerlangan bidang pengajaran, penyelidikan, penerbitan, inovasi, pengkomersialan serta sumbangan kepada masyarakat.

“UTeM punyai potensi untuk mengungguli bidang pendidikan tinggi teknikal di samping menjadi hab rujukan utama bagi kesejahteraan masyarakat, pembangunan industri serta negara,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis AAU 2019 UTeM di Kampus Induk UTeM, baru-baru ini.

Jelasnya, AAU merupakan program kemuncak bagi mengiktiraf pencapaian dan sumbangan ahli akademik UTeM dalam pelbagai bidang.

“Ia bukan sahaja dalam akademik dan penyelidikan, malah meliputi sumbangan terhadap pembangunan masyarakat dan negara.

“Kesemua penerima anugerah masing-masing menerima hadiah wang tunai RM4,000, sijil penghargaan serta plak,” katanya lagi.

Penerima anugerah terdiri daripada Prof. Madya Dr. Rozaimi Ghazali (Anugerah Akademik Harapan); Dr. Zakiah Abdl Halim (Anugerah Pengajaran); Prof Dr. Ghazali Omar (Anugerah Penyelidikan); Prof Dr. Zahriladha Zakaria (Anugerah Penghasilan Makalah Jurnal) dan Prof Madya Dr. Mohd Shukor Salleh (Anugerah Kualiti Makalah Jurnal).

Turut menerima anugerah adalah Prof Madya Dr. Azma Putra (Anugerah Inovasi ePembelajaran) dan Kumpulan C2L dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (Anugerah Khas Kumpulan).

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UTeM Prof. Dr. Zulkifilie Ibrahim dan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar Prof. Madya Dr. Nurulfajar Abd Manap.

Views:

447
Kongsi :
Previous post PKPB di Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan bermula tengah malam ini
Next post Menteri Agama positif COVID-19
Ubah saiz-+=