Sorting by

×

UTeM-IPT China kongsi kepakaran martabat TVET ke rantau Asia

Masa Membaca:2 Minit, 15 Saat

AYER KEROH 25 November – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) terus mengorak langkah dalam memperluaskan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di rantau Asia.

Ia bagi memastikan agenda pemerkasaan TVET aras tinggi dikembangkan UTeM yang mewakili Malaysia dengan rantau Asia perlu bergerak seiringan.

Naib Canselornya, Profesor Datuk Ts. Dr. Massila Kamalrudin berkata, bagi mendukung hasrat terbabit satu kerjasama strategik dijalin menerusi pemeteraian Memorandum Perjanjian Akademik (MoA) telah dijalin bersama Institusi Pendidikan Tinggi ternama TVET di China, Heilongjiang Agricultural Economics Vocational College (HAEVC), baru-baru ini.

Katanya, antara intipati kerjasama strategik bersama HAEVC ialah kedua-dua pihak bersetuju untuk membangun dan menawarkan secara bersama program Diploma Pengurusan Teknologi dan E-Dagang.

“Kerjasama ini juga mengukuhkan hubungan erat antara dua buah negara, Malaysia dan China di bawah projek ‘Malaysia Luban Workshop’ yang merupakan projek pendidikan vokasional antarabangsa dalam memupuk profesional mahir di negara membangun dan salah satu elemen di bawah inisiatif The Belt and Road Initiative (BRI) yang mendapat pengiktirafan dan pembiayaan oleh Kementerian Pendidikan Negara China.

“HAEVC juga merupakan institusi terbaik dalam penawaran program E-Dagang di peringkat diploma yang berada pada kedudukan 10 terbaik di antara Kolej Vokasional yang terdapat di China.

“Pada masa yang sama hubungan ini turut memperkukuh kerjasama strategik antarabangsa dengan industri gergasi di China seperti Alibaba (China) Education and Technology Co. Ltd. terutamanya dalam bidang yang berkaitan perdagangan elektronik,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, MoA itu telah dimeterai secara dalam talian yang mana Massila mewakili UTeM, manakala HAEVC pula diwakili Setiausaha CPC of HAEVC, Profesor Yan Haimin.

Turut hadir, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Dr. Zulkifilie Ibrahim; Dekan Fakulti Pengurusan Teknologi dan Teknokeusahawanan, Profesor Dr Mohd Syaiful Rizal Abdul Hamid dan Pengarah Pusat Hubungan Strategik Korporat dan Global (UGlobe), Profesor Madya Dr. Siti Hajar Sheikh Md Fadzullah.

Manakala, pertemuan secara maya di China pula dihadiri Timbalan Setiausaha CPC merangkap Presiden HAEVC, Profesor Zhang Jizhong; Timbalan Setiausaha CPC, Profesor Cong Peixin; dan Ahli CPC merangkap Naib Presiden HAEVC, Profesor Jiang Guijuan.

Majlis itu turut disertai rakan industri strategik dari China, Alibaba (China) Education and Technology Co. Ltd., iaitu Timbalan Pengurus Besar Taobao Education, Taobao Tmall Group, Liu Guofeng dan Pengarah Latihan Antarabangsa Department of Taobao Education, Taobao and Tmall Group, Zhang Lei.

Dalam pada itu, Dr. Massila berkata, kerjasama yang dijalin itu sekali gus menzahirkan pelbagai manfaat dan keistimewaan kepada universitinya kerana memperoleh laluan mudah bagi mendapatkan pelajar-pelajar dari Negara China untuk melanjutkan pengajian di peringkat Sarjana Muda di UTeM.

“Di samping itu, platform ini juga turut membuka ruang dan peluang kepada tenaga pengajar di China untuk meningkatkan tahap pendidikan akademik ke peringkat yang lebih tinggi sebagai pelajar pascasiswazah di UTeM,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1064
Kongsi :
Previous post Sejarah penjaga samudera
Next post Program khas Baba Nyonya warnai TMM2024
Ubah saiz-+=