Program khas Baba Nyonya warnai TMM2024

Masa Membaca:1 Minit, 23 Saat

BANDARAYA MELAKA 25 November – Keunikan seni dan budaya Baba Nyonya akan diangkat sebagai salah satu tarikan program sempena Tahun Melawat Melaka 2024, kata Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh.

Beliau berkata, sebuah program khas akan diadakan bagi menonjolkan keunikan masyarakat Peranakan di Negeri Melaka di mata dunia.

Jelas Ketua Menteri, pelbagai keistimewaan masyarakat itu boleh diketengahkan kepada pelancong antaranya makanan, hasil seni dan budaya hidup mereka.

“Jadi, saya akan membawa keunikan Baba Nyonya ini dalam mempromosikan TMM2024 kerana saya percaya ini akan menjadi salah satu tarikan dunia.

“Keunikan seperti makanan, hasil seni, malah persembahan kebudayaan masyarakat ini juga akan kita ketengahkan pada program-program utama yang dirancang sepanjang tahun hadapan, termasuklah ketika Majlis Pelancaran TMM2024 yang akan diadakan 31 Disember nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Antarabangsa Baba Nyonya Ke-34 di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Lim Ban Hong; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Sa’ari Basiron dan Presiden Persatuan Peranakan Baba Nyonya Malaysia, Datuk Ronald Gan.

Ab Rauf berkata, konvensyen berkenaan dihadiri kira-kira 500 peserta membabitkan delegasi Baba Nyonya daripada lima buah negara iaitu Malaysia, Australia, Singapura, Thailand dan Indonesia.

Menurut beliau, konvensyen itu disifatkan cukup bermakna dalam menjalin hubungan persahabatan dan persaudaraan sesama diaspora Baba Nyonya yang datang daripada seluruh dunia.

Pada masa sama, beliau turut menyeru komuniti Baba dan Nyonya agar dapat terus memperkasa hubungan kerjasama yang sedia terjalin sesama diaspora untuk dikembangkan lagi dalam bidang-bidang yang lain termasuk kebudayaan, kesenian, warisan dan perdagangan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

880
Kongsi :
Previous post UTeM-IPT China kongsi kepakaran martabat TVET ke rantau Asia
Next post TMM2024: Enam kereta habuan pelancong bertuah
Ubah saiz-+=