TMM2024: Enam kereta habuan pelancong bertuah

Masa Membaca:1 Minit, 8 Saat

BANDARAYA MELAKA 25 November – Pelancong yang datang ke Melaka bukan sahaja dapat menikmati keindahan dan keunikan destinasi pelancongan, bahkan berpeluang memenangi hadiah berupa enam buah kereta.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, hadiah itu merupakan antara tawaran istimewa sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Menurut Ab Rauf, berbanding empat buah kereta dianggarkan bernilai RM100,000 setiap satu yang diumumkan sebelum ini, hadiah itu ditambah menjadi enam buah, selain sebuah bot yang boleh dibawa pulang pelancong bertuah.

Jelas Ketua Menteri, syarat untuk melayakkan pelancong menyertai cabutan bertuah istimewa itu ialah dengan menginap tiga hari dua malam di hotel yang terpilih, selain berbelanja melebihi RM600.

“Benar, kita ada penambahan hadiah utama untuk cabutan bertuah yang mana salah satu daripada enam kereta itu akan diberikan lebih awal kepada pelancong bertuah iaitu ketika Majlis Pelancaran TMM2024.

“Bukan hanya pelancong, malah penduduk Melaka yang menginap di hotel dan berbelanja mengikut syarat juga berpeluang memenangi hadiah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Antarabangsa Baba Nyonya Ke-34 di sebuah hotel, di sini, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Zaidi Attan; Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Klebang Datuk Lim Ban Hong; Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan (BPP) Sa’ari Basiron dan Presiden Persatuan Peranakan Baba Nyonya Malaysia, Datuk Ronald Gan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

803
Kongsi :
Previous post Program khas Baba Nyonya warnai TMM2024
Next post Melaka jadi lokasi Jambori Permotoran Malaysia 2024
Ubah saiz-+=