Melaka jadi lokasi Jambori Permotoran Malaysia 2024

Masa Membaca:1 Minit, 5 Saat

AYER KEROH 25 November – Melaka bakal menjadi destinasi persinggahan geng motosikal menerusi penganjuran Jambori Permotoran Malaysia, pertengahan tahun depan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, program yang dijadual pada Jun 2024 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) itu dijangka akan dihadiri ratusan ribu peminat motosikal seluruh negara.

Katanya, program itu juga disusun bagi menambah kemeriahan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

“Program ini menyasarkan 300,000 hingga 500,000 peminat motosikal, tidak terhad kepada motosikal berkuasa tinggi, bahkan ia merangkumi pelbagai jenis motosikal untuk turut serta.

“Ia akan diadakan selama tiga hari dua malam yang mana peserta bertuah berpeluang memenangi hadiah istimewa berupa motosikal,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian XOCM Mega Gathering 2023 di MITC, di sini, hari ini.

Program anjuran X-Max Owner Club Malaysia (XOCM) itu disertai seramai 1,000 peserta dari seluruh negara, selain penyertaan daripada peserta Singapura dan Thailand.

Ia merupakan edisi keempat penganjurannya, selepas kelab itu mula ditubuhkan pada 2019.

Ab Rauf berkata, aktiviti permotoran seperti konvoi dilihat sebagai satu aktiviti yang sihat bukan sahaja bertujuan merapatkan silaturahim dalam kalangan peserta, bahkan ia juga berupaya mempromosi kaedah penunggangan selamat.

Selain itu, ujar Ketua Menteri, program sedemikian juga dapat mempromosi destinasi pelancongan menarik yang ada di negara ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1078
Kongsi :
Previous post TMM2024: Enam kereta habuan pelancong bertuah
Next post 18 terperangkap dalam lif, seorang sesak nafas
Ubah saiz-+=