UTeM laksana PRK atas talian
DURIAN TUNGGAL 14 Jan – Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menjalankan proses Pilihan Raya Kampus (PRK) bagi sesi 2022 secara dalam talian sepenuhnya.
Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar, UTeM Datuk Dr Sabri Mohamad Shariff berkata, proses pilihan raya kali ini dilaksanakan menerusi kaedah itu berbanding sebelum ini yang hanya pembuangan undi sahaja dilakukan secara atas talian.
Jelasnya, kesemua proses dan pelaksanaan secara dalam talian ini bermula seawal proses penjualan borang calon, pendaftaran pencalonan, proses berkempen sehingga proses pembuangan undi.
“Menerusi kaedah ini, perjalanan prosesnya berjalan lebih lancar sekali gus memudahkan 13,116 pelajar UTeM untuk membuang undi melalui platform Portal@i E-undi dan aplikasi MyUTeM.
“Ianya mudah bagi mereka untuk memilih calon pilihan mereka menjadi ahli Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UTeM yang baharu sesi 2022,” ujarnya ketika ditembual sewaktu memantau proses pembuangan undi secara dalam talian pada PRK UTeM.
Dr Sabri berkata, kaedah ini dilihat sebagai selari dengan musim pandemik yang mana tidak kira di mana sahaja penuntut UTeM berada mereka tetap boleh membuang undi dengan jayanya.
Jelasnya, pada PRK kali ini sebanyak 34 kerusi telah dipertandingkan yang mana merangkumi 25 kerusi fakulti dan sembilan kerusi umum.
“Seramai 48 orang calon dipertandingkan yang mana 26 calon adalah bagi kerusi fakulti dan 22 calon bagi kerusi umum.
Dr Sabri turut menyatakan bahawa UTeM merupakan antara universiti yang terawal melaksanakan PRK bagi tahun 2022 ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.