Vaksin: Melaka nafi 100 ahli politik potong barisan

Masa Membaca:1 Minit, 44 Saat

AYER KEROH 1 Mac – Kerajaan negeri menafikan sekeras-kerasnya dakwaan liar seorang pemilik akaun Twitter, Endie@The Endie, yang mendakwa terdapat lebih 100 ‘kuncu’ ahli politik Melaka dimasukkan dalam senarai penerima vaksin yang dijadual esok.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata, dakwaan tersebut tidak berasas kerana kerajaan negeri tidak akan sesekali menafikan hak petugas barisan hadapan di negeri ini.

Beliau menegaskan pemilihan senarai penerima vaksin fasa 1 dibuat sendiri oleh Jabatan Kesihatan Negeri Melaka tanpa campur tangan mana-mana pihak.

“Ketua Menteri Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali akan menjadi individu pertama menerima suntikan vaksin Pfizer-BioNTech esok, diikuti oleh semua Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Parlimen serta petugas barisan hadapan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan bukan KKM.

“Semua penerima vaksin fasa 1 ini adalah golongan yang termasuk dalam definisi ‘frontliner’ yang ditetapkan oleh KKM. Jadi mereka akan diberi suntikan dalam masa sembilan minggu mulai 2 Mac hingga 30 April depan dan akan menerima tarikh dan masa temu janji melalui MySejahtera.

“Bagaimanapun jika ada antara mereka masih belum terima tarikh temu janji, ia bukan kerana mereka tidak disenaraikan sebagai penerima vaksin, sebaliknya belum menerima tarikh temu janji dan perlu bersabar,” katanya dalam satu kenyataan.

Rahmad berkata, semua petugas barisan hadapan yang akan menerima suntikan vaksin fasa 1 akan diberi tarikh temu janji beberapa hari sebelum hari suntikan bergantung kepada penjadualan bekalan vaksin yang diterima oleh Pusat Simpanan Vaksin (PSV) dan diagihkan ke semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Justeru, ujarnya, tiada isu membabitkan ada nama akan terpinggir dalam pemberian vaksin fasa 1 semata-mata untuk memberikan keistimewaan kepada ahli politik seperti yang ditularkan.

“Oleh itu, saya menyeru kepada semua rakyat di negeri ini supaya tidak mempercayai cerita-cerita sensasi seperti ini. Kerajaan amat prihatin kepada semua rakyat dan akan berusaha memastikan mereka yang layak menerima vaksin COVID-19 ini mengikut fasa yang ditetapkan.

“Jika ada sebarang pertanyaan, bolehlah menghubungi Bilik Gerakan Jabatan Kesihatan Negeri Melaka di talian 06-2356876 atau email kepada [email protected],” katanya lagi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

337
Kongsi :
Previous post Murid Tahun 1 teruja kembali ke sekolah
Next post MUFC mula tunjuk ‘taring’
Ubah saiz-+=