MUFC mula tunjuk ‘taring’

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

KELAB Bolasepak Melaka United (MUFC) mempamerkan prestasi memberangsangkan dalam aksi pra musim apabila menundukkan Kelantan FC, 2-1 di Stadium Hang Jebat, malam tadi.

Dua gol skuad Hang Tuah dijaringkan oleh Fakhrullah Rosli pada minit ke-15 dan 43, manakala gol tunggal pelawat dijaringkan Nurshamil Abd Ghani pada minit ke-60.

Ketua Jurulatih MUFC Zainal Abidin Hassan ketika ditemui selepas perlawanan mengakui berpuas hati dengan kemenangan moral itu menjelang aksi pembuka tirai Liga Super pada 6 Mac ini.

Jelasnya, perlawanan itu turut dijadikan medan menilai kesebelasan utama pasukan dan juga barisan pemain gantian yang berpotensi untuk diturunkan.

“Malam ini (semalam) saya ingin melihat banyak pengganti pemain, atau kesebelasan kedua saya. Pemain-pemain yang cemerlang di sesi latihan sebelum ini, saya ingin memastikan mereka dapat menunjukkan sesuatu dalam aksi sebenar.

“Walaupun kita tampak sedikit longgar selepas mengeluarkan pemain-pemain utama di babak kedua, tetapi sedikit sebanyak saya melihat mereka telah menunjukkan sesuatu dan memberikan kepercayaan kepada saya,” katanya.

Menjelang aksi menentang Sabah di Stadium Hang Jebat, Sabtu ini, Zainal berkata persiapan pasukan kini sudah hampir siap dan pihaknya akan memanfaatkan sepenuhnya baki masa yang tinggal untuk membantu pemain mencapai tahap kecergasan yang diperlukan.

“Saya akui latihan memang sedikit terjejas, tetapi apapun kami akan terus kejar masa dan mendapatkan waktu bermain yang cukup untuk menghadapi aksi pertama nanti.

“Walaupun tahap kecergasan mereka masih belum 100 peratus, tetapi saya berharap pemain dapat berkorban sedikit. Apapun, saya tetap percaya pasukan ini dapat menunjukkan sesuatu yang lebih baik dan perlahan-lahan mereka akan meningkat,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

315
Kongsi :
Previous post Vaksin: Melaka nafi 100 ahli politik potong barisan
Next post Tiga medan selera MBMB ‘berwajah baharu’
Ubah saiz-+=