Vidakovic yakin Melaka United akan berubah mengikut masa

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

KEPUTUSAN satu seri dan tewas sekali dalam aksi pembukaan saingan Liga Super memberi gambaran jelas bahawa Kelab Bolasepak Melaka United masih belum bersedia sepenuhnya.

Hal itu diakui Ketua Jurulatih Melaka United Risto Vidakovic yang menyifatkan ia berikutan kebanyakan pemain tidak dapat menyertai pasukan lebih awal untuk sesi latihan, termasuk ada yang hanya tiba kira-kira 10 hari sebelum saingan liga bermula.

Katanya, segala kelemahan pasukan dapat dilihat dengan jelas apabila ramai di antara pemain masih bergelut dan tidak cukup bersedia ketika beraksi di atas padang.

“Saya akui memang masih terdapat ramai pemain yang belum bersedia. Seperti saya katakan sebelum ini, ramai yang tiba lewat dan hanya menjalani latihan 10 hari yang lalu.

“Jadi untuk mereka capai prestasi seperti yang saya mahukan pada saya ia masih terlalu awal untuk diperkatakan.

“Mustahil untuk kami menjadi sebuah pasukan yang 100 peratus baik mengikut situasi sekarang kerana bagi saya untuk bersedia, pasukan itu memerlukan sekurang-kurangnya sebulan atau lebih,” katanya.

Meskipun begitu, pengendali dari Bosnia & Hezergovina itu tetap optimis persembahan anak buahnya akan mula menunjukkan peningkatan seiring dengan masa.

“Kita bermula lewat dan agak bergelut, tetapi saya tetap yakin sedikit demi sedikit, kita akan bertambah baik.

“Ia dapat dilihat dalam aksi kedua liga menentang Penang FC yang mana pemain mula menunjukkan peningkatan di separuh masa kedua dan mencipta banyak peluang.

“Jadi, ia menunjukkan satu peningkatan yang baik dalam menghadapi saingan sepanjang musim ini,” katanya lagi.

Sebelum ini, dalam aksi pertama, Melaka United tewas 0-1 di tangan Petaling Jaya City FC di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

Dalam aksi kedua menentang Penang FC di Stadium Bandaraya Pulau Pinang, skuad Hang Tuah bangkit daripada ketinggalan untuk mengikut tuan rumah, sekali gus meraih satu mata pertama musim ini.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

500
Kongsi :
Previous post Melaka capai 30 peratus penglibatan wanita sektor awam – Kalsom
Next post Fasa peralihan endemik: kerajaan terus lindungi rakyat, perlukan solidariti komuniti
Ubah saiz-+=