Wanita ikon penting negara

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

BANDARAYA MELAKA 16 Nov. – Wanita mampu meraih kejayaan hingga ke peringkat global jika menggunakan sepenuhnya peluang dan ruang yang ada untuk membuktikan kemampuan diri, kata Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri Datuk Wira Latipah Omar.

Katanya, selepas kerajaan mengumumkan Program Transformasi Ekonomi (ETP) pada 2010, peranan wanita terus melonjak sekali gus mengesahkan bahawa mereka juga setanding kaum lelaki.

Beliau berkata, selain kerjaya profesional, penglibatan dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga memperlihat peranan dan mengiktiraf golongan wanita sebagai ikon penyumbang penting kepada kejayaan negara.

“Keyakinan terhadap pengaruh dan peranan wanita membuktikan golongan itu sebenarnya penyumbang terbesar terhadap pembangunan negara.

“Malaysia antara negara bertuah kerana berada di landasan terbaik dalam pembangunan sosioekonomi wanita, selain tidak mengesampingkan peranan golongan hawa dalam membantu memajukan agama, bangsa dan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada acara Minum Petang Majlis Gabungan Pertubuhan Wanita Melaka (NCWO Melaka).

Hadir sama isteri Yang di-Pertua Negeri Melaka Toh Puan Asmah Ab Rahman dan isteri kepada Ketua Menteri Datin Seri Utama Munira M. Yusop.

Turut hadir Timbalan Pengerusi 1 dan 2 NCWO Negeri Melaka Datin Shanta Basil dan Datuk Noradibah Abdullah serta Ketua Biro Sosialnya Wan Faudzilah Wan Abdullah.

Latipah juga berkata, jumlah wanita bekerjaya di negeri ini perlu diperhebat supaya dapat memecahkan blok yang menjadi pemisah di antara dua jantina.

“Untuk meningkatkan penyertaan wanita dalam bidang pekerjaan juga, keupayaan produktiviti dan inovasi golongan itu perlu turut berubah selaras keadaan semasa supaya mereka dapat bersaing.

“Saya berharap, lebih ramai wanita berjaya berada di barisan hadapan untuk
membantu membentuk penglibatan total inovator wanita lain dalam pelbagai bidang termasuk sektor korporat dan profesional demi masa hadapan wanita itu sendiri, ” katanya.

Views:

1658
Kongsi :
Previous post Melaka rekodkan dua kes postif COVID-19
Next post Kerajaan cadang tutup lima pejabat Education Malaysia di luar negara
Ubah saiz-+=