Wanita dipenjara lima bulan, denda larikan jongkong emas, curi wang majikan
Mengikut pertuduhan pertama, Goh Min Xiu, 25, didapati mencuri satu bentuk jongkong emas 999 seberat 100 gram bernilai RM25,393 di sebuah kedai emas di Jalan Kee Ann di sini kira-kira 4.30 petang 30 Okt lepas.
Dia dituduh di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 10 tahun dan bagi kesalahan kedua boleh juga dikenakan penjara, denda atau sebatan.
Mengikut fakta kes, Goh telah datang sebagai pelanggan dan meminta pekerja kedai emas mengeluarkan jongkong emas itu daripada almari kaca.
Tertuduh kemudiannya memegang jongkong terbabit selama kira-kira tiga minit sebelum bertindak melarikan diri dan masuk ke dalam sebuah kereta jenis Nissan Grand Livina bersama dua lagi individu yang berada di dalam kereta itu.
Bagi pertuduhan kedua pula, Goh mengaku bersalah mencuri wang tunai bernilai RM2,427 milik majikannya di Restoran Top Hit Ong Thai Mookata BBQ di sini pada 10 malam 22 Okt lepas.
Bagi pertuduhan itu, dia didakwa di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tujuh tahun dan denda.
Goh yang juga bekas juruwang dalam rayuannya meminta agar hukuman ringan dikenakan terhadapnya memandangkan dia hanya tinggal berdua bersama ibunya yang sudah uzur selain menyesali kesalahannya itu.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Wardah Ishhar memohon hukuman setimpal kerana kesalahan dilakukan tertuduh membabitkan nilai kerugian tinggi.
Majistret Khairunnisak Hasni kemudiannya mengenakan hukuman penjara tiga bulan bermula tarikh ditangkap pada 7 Nov lepas berserta denda RM10,000 atau tambahan dua bulan penjara jika gagal membayar denda bagi kesalahan melarikan jongkong emas.
Mahkamah turut mengenakan hukuman penjara dua bulan selepas tamat tempoh pemenjaraan bagi kesalahan pertama itu serta denda RM1,000 atau sebulan penjara jika gagal bayar.
— BERNAMA
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.