Wanita lebih handal memancing ikan

Masa Membaca:1 Minit, 35 Saat

DUYONG 31 Disember – Jangan disangka tangan lembut yang sering menghayun buaian tidak mampu menggoncang dunia!

Itu gambaran mengenai kejayaan dua wanita yang muncul juara dan naib juara Pertandingan Memancing Anjuran Japerun Duyong dan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) di Tali Air Padang Permainan Semabok Setia, hari ini.

Walaupun pertandingan yang disertai hampir 200 peserta itu diungguli lelaki, namun kaum hawa membuktikan mereka juga mampu bersaing untuk mendaratkan ikan terberat pada pertandingan itu.

Gelaran juara menjadi milik Faridah Baba, 53 dari Padang Jambu yang berjaya menaikkan ikan haruan seberat 0.212 kilogram (kg), sekali gus muncul ikan terberat kejohanan.

Menurut Faridah, dia yang baru pertama kali menyertai pertandingan memancing seakan tidak percaya umpan cacing yang dilabuhkannya disambar haruan pada jam 9.37 pagi.

Dia yang datang bersama suami, anak-anak dan menantu bagaimanapun bersyukur dengan kejayaan itu dan menganggapnya sebagai hadiah tahun baharu 2023.

“Pada awalnya, saya masuk untuk suka-suka kerana dapat ikut suami dan anak memancing.

“Tidak sangka pula rezeki dapat jadi juara dan ini merupakan hadiah paling istimewa di hujung tahun 2022.

“Saya harap pertandingan seperti ini dapat diteruskan kerana memancing merupakan aktiviti yang sihat dan dapat mengeratkan hubungan sesama masyarakat,” katanya.

Selaku juara, Faridah membawa pulang hadiah wang tunai RM500 dan joran, manakala seorang lagi pemancing wanita dikenali sebagai Sumiyarti muncul naib juara dengan ikan haruan seberat 0.172kg untuk membawa pulang RM300 dan joran.

Untuk rekod, pertandingan yang berlangsung selama tiga jam bermula 9 pagi itu tidak mengenakan sebarang yuran penyertaan kepada peserta.

Selain hadiah memancing, turut disediakan hadiah cabutan bertuah dan jualan murah beras 5kg pada harga RM5.

68D11001-18DD-4C55-9B8F-2F86BD2FC61D
MOHD Noor Helmy melihat ikan yang dinaikkan peserta.

Upacara perasmian pertandingan itu telah disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Duyong Mohd Noor Helmy Abdul Halem, manakala upacara penutup oleh Setiausaha MBMB Ts Noramirul Nizam Kamis.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2251
Kongsi :
Previous post Reman lima individu dera kanak-kanak dilanjut
Next post ‘2022 tutup buku’: Imbasan Jun 2022
Ubah saiz-+=