Wanita warga Thailand disyaki dalang sindiket dadah antara empat ditahan

Masa Membaca:1 Minit, 49 Saat

KUALA LUMPUR, 23 Ogos – Sindiket pengedaran dadah yang didalangi seorang wanita warga Thailand tumpas apabila empat individu termasuk seorang lelaki tempatan ditahan serta 16 kilogram (kg) syabu dirampas dianggarkan bernilai RM520,000 dalam tiga serbuan berasingan di sekitar ibu negara, pada Jumaat lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Allaudeen Abdul Majid berkata empat individu yang ditahan pada 7 hingga 9.15 malam itu berumur 23 hingga 30 tahun, terdiri daripada tiga warga Thailand iaitu sepasang suami isteri serta seorang wanita, dan seorang lelaki tempatan.

Beliau berkata sindiket pengedaran dadah itu dikesan bergerak aktif sejak dua bulan lepas di sekitar ibu negara dan modus operandi mereka adalah dengan menjadikan kereta sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum diserahkan kepada pembeli.

“Serbuan pertama dilakukan di tepi jalan Taman Pertama, Cheras dengan menahan sepasang suami isteri warganegara Thailand dan seorang lelaki tempatan. Hasil siasatan awal, mereka tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau tetapi positif dadah, hasil ujian saringan air kencing.

“Polis melakukan serbuan kedua di parkir Solaris Dutamas dan menjumpai 15 bungkusan (16 kg) dadah dipercayai syabu di dalam sebuah kereta. Seterusnya, polis menahan seorang lagi suspek iaitu wanita Thailand dipercayai perancang utama bagi sindiket ini, di lobi sebuah residensi di Taman Kobena, Cheras,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dadah yang dirampas itu mampu menampung penggunaan 30,000 pengguna dadah dan pihaknya turut merampas sebuah kenderaan yang dianggarkan bernilai RM20,000.

Allaudeen berkata pasangan suami isteri yang ditahan itu merupakan pekerja di sebuah kedai tomyam, manakala lelaki tempatan itu pula bekerja di sebuah ladang kuda di sekitar Selangor.

“Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur masih menjalankan siasatan untuk mengesan punca bekalan dadah jenis syabu itu diperoleh,” katanya.

Semua suspek direman tujuh hari hingga 24 Ogos ini bagi siasatan kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Allaudeen berkata pihaknya berharap supaya masyarakat terus menyalurkan maklumat kepada pihak polis agar kegiatan jenayah dan dadah di ibu kota dapat diambil tindakan yang sewajarnya bagi memastikan Kuala Lumpur sebuah bandar raya yang selamat.

“Segala maklumat yang berkaitan dengan dadah boleh disalurkan melalui hotline JSJN menerusi aplikasi WhatsApp di talian 012-2087222 (24 jam),” katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1249
Kongsi :
Previous post Hembus nafas terakhir selepas 4 hari bertarung nyawa
Next post PEKB: RM10 juta untuk bimbing B40 bandar usahakan perniagaan
Ubah saiz-+=