Warga asing di Melaka tak takut COVID-19?

Masa Membaca:1 Minit, 26 Saat

BANDARAYA MELAKA 23 Mei – Seolah-olah tiada apa yang berlaku dalam negara, sekumpulan warga asing dengan selamba menghabiskan cuti hari minggu dengan melepak di sekitar bandar Melaka.

Tinjauan Melaka Hari Ini (MHI) mendapati walaupun bergerak dalam kumpulan kecil, namun warga asing berkenaan seolah-olah merasakan diri mereka kebal daripada COVID-19 dengan duduk berkumpul terlalu rapat dan menghabiskan masa mereka bersembang dengan rakan-rakan.

Berdasarkan aduan yang diterima, warga asing ini mula bergerak secara berkumpulan sekitar jam 9 pagi hingga lewat petang dengan menyasarkan beberapa tempat kebiasaan mereka seperti di Melaka Sentral dan Jalan Tun Ali.

TERDAPAT banyak kumpulan warga asing dikesan menjadikan Melaka Sentral sebagai lokasi berkumpul.

Hasil pemerhatian MHI di Melaka Sentral, kumpulan warga asing berkenaan dikesan di hadapan premis pengurup wang berlesen dan kemudian membeli barangan keperluan di sekitar kawasan ini.

Selepas membeli barangan keperluan, mereka dilihat berkumpul dan bersembang dalam kumpulan kecil tanpa menghiraukan pematuhan aspek penjarakan fizikal.

Situasi sama turut dikesan di sekitar Jalan Tun Ali yang mana kelibat kumpulan warga asing ini dapat dilihat berkumpul di hadapan premis menjual pakaian dan gajet serta kedai runcit.

Walaupun rata-rata mereka memakai pelitup muka, namun ketika bersembang mereka sekadar meletakkan pelitup muka di dagu dan tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

Situasi itu nyata membimbangkan dan boleh menimbulkan keresahan orang ramai memandangkan kes jangkitan COVID-19 membabitkan warga asing yang bekerja di sektor industri dan perkilangan semakin memuncak sepanjang tahun ini.

Malah, Melaka baru sahaja digemparkan dengan kes membabitkan warga asing di sebuah kilang proses ayam di Masjid Tanah apabila setakat semalam dilaporkan 175 individu disahkan positif COVID-19 dan lebih 600 lagi masih menunggu keputusan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

500
Kongsi :
Previous post Barangan kawalan, keperluan asas dan makanan stabil- KPDNHEP Melaka
Next post Bekalan 8.2 juta dos vaksin Sinovac menjelang akhir Jun- Ismail Sabri
Ubah saiz-+=