Warga emas di Melaka tidak terpinggir – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

SERI NEGERI 14 Disember – Kerajaan Negeri menerusi Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyediakan pelbagai kemudahan untuk membantu warga emas di negeri ini meneruskan kelangsungan hidup.

Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri Datuk Kalsom Noordin berkata, antara bantuan atau perkhidmatan yang disediakan ialah bantuan kewangan bulanan Skim Bantuan Warga Emas (BWE) berjumlah RM500 sebulan.

Selain itu, katanya, Kerajaan Negeri turut menyediakan tiga institusi penempatan warga emas yang bujang atau tidak mempunyai waris untuk menjalani kehidupan yang lebih baik di bawah jagaan.

Katanya, tiga institusi itu ialah Rumah Seri Kenangan (RSK), Rumah Ehsan (RE) dan Rumah Orang Tua (ROT) Bukit Larang.

“Antara kemudahan yang disediakan di institusi ini termasuklah memberikan jaringan sosial kepada warga emas berinteraksi dengan rakan sebaya, penjagaan dan perlindungan, bimbingan dan kaunseling, bimbingan agama, perkhidmatan fisioterapi, rawatan perubatan dan lain-lain.

“Bagaimanapun kemasukan warga emas ke institusi ini adalah pilihan terakhir yang mana JKM berpandangan bahawa masyarakat masih berpegang teguh kepada pegangan agama dan kasih sayang terhadap ibu bapa dan keluarga yang lanjut usia.

Seiring dengan usaha dilakukan kerajaan, adalah diharap kesedaran masyarakat umum tentang kepentingan menjaga warga emas akan meningkat bagi memastikan tanggungjawab ini digembeleng secara bersama antara kerajaan dengan masyarakat, termasuk institusi keluarga, badan bukan kerajaan (NGO), institusi pendudukan dan pertubuhan keagamaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan daripada Leng Chau Yen (PH-Banda Hilir pada Persidangan Keempat (Bajet), Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Kalsom berkata, Kerajaan Negeri turut komited melaksanakan inisiatif bagi mewujudkan golongan warga emas berdikari, bermartabat diri dan dihormati di Melaka.

Antara usaha yang dilakukan termasuklah mewujudkan Jawatankuasa Pembangunan Warga Emas Negeri dan Daerah (JPWEN) dan perkhidmatan sokongan sosial menerusi Pusat Aktiviti Warge Emas (PAWE).

Jelas Kalsom, setakat ini, terdapat enam PAWE telah beroperasi di Melaka iaitu PAWE Bukit Baru, PAWE UTC, PAWE Kampung Pondok Kempas Jasin, PAWE Paya Rumput, PAWE Taboh Naning Masjid Tanah dan PAWE Alor Gajah.

“Antara program yang diadakan di PAWE ialah rekreasi dan riadah, kesihatan, terapi pemulihan, keagamaan, serta latihan dan kursus,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

2006
Kongsi :
Previous post Sedia 2,000 AED tangani serangan jantung di tempat awam
Next post Beberapa projek babitkan jalan Persekutuan di Melaka giat dinaik taraf
Ubah saiz-+=