Sorting by

×

WARIS PENDEPOSIT SIMPAN SSPN TERIMA MANFAAT LEBIH RM129,000

Masa Membaca:2 Minit, 46 Saat

AYER LIMAU 20 November – Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) menerusi Program Ziarah PTPTN Prihatin telah mengunjungi waris salah seorang pendeposit Simpan SSPN di Masjid Tanah yang meninggal dunia, baru-baru ini.

Kunjungan itu adalah bertujuan menyampaikan manfaat dengan jumlah keseluruhan bernilai RM129,230.86 kepada waris Allahyarhamah Hasnatul Adilah Hassan, 49, seorang guru yang telah meninggal dunia dalam nahas jalan raya pada 8 Jun lalu.

Manfaat itu telah disampaikan sendiri oleh Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh dan Pengerusi PTPTN Dato’ Seri Norliza Abdul Rahim di kediaman waris di Taman Datuk Setia, Kampung Ramuan China Besar.

Turut hadir, Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ayer Limau Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer; Pengurus Besar Kanan, Jabatan Komunikasi Korporat dan Pemasaran PTPTN Wan Zawiah Wan Abu Bakar dan Pengarah Negeri, Pejabat PTPTN Negeri Melaka Mas Anisah Ayu Othman.

Manfaat itu diterima memandangkan Allahyarhamah merupakan seorang pendeposit Simpan SSPN Prime untuk dua anaknya sejak 15 Jun 2020 dan mempunyai simpanan yang melayakkan menerima manfaat perlindungan takaful berjumlah RM1,230.86 berserta khairat kematian berjumlah RM2,000.

Selain itu, Allahyarhamah juga telah membuka akaun Simpan SSPN Plus untuk dua orang anak di bawah Pakej Intan dengan komitmen sebanyak RM30 sebulan iaitu untuk simpanan RM20 dan untuk caruman takaful sebanyak RM10.

Melalui caruman takaful RM20 sebulan (bagi dua akaun), Allahyarhamah sebagai pendeposit Simpan SSPN Plus telah dilindungi dengan manfaat perlindungan takaful (kematian kemalangan) berjumlah RM120,000 dan khairat kematian berjumlah RM6,000 sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan manfaat Simpan SSPN yang diterima adalah berjumlah RM129,230.86.

Sementara itu, Norliza memaklumkan, sebagai sebuah agensi di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), PTPTN bukan sahaja komited memastikan aspek pendidikan terpelihara, bahkan turut memastikan penabungan dalam Simpan SSPN dapat membantu meringankan beban kewangan waris pendeposit yang telah meninggal dunia.

“Sememangnya nilai manfaat ini tidak dapat mengembalikan nyawa insan yang tersayang, namun dengan manfaat yang diterima dapat memastikan pendidikan anak-anak Allahyarhamah dapat diteruskan dan kelangsungan hidup mereka lebih terjamin,” katanya.

PTPTN mempunyai dua produk simpanan iaitu Simpan SSPN Prime dan Simpan SSPN Plus yang menawarkan pelbagai keistimewaan dan manfaat.

Keistimewaan Simpan SSPN Prime ialah perlindungan takaful percuma secara Ringgit ke Ringgit kepada pendeposit yang mempunyai simpanan RM1,000 dan ke atas sekiranya berlaku kematian/ilat kekal menyeluruh kepada mereka.

Selain itu, pelepasan taksiran cukai pendapatan sehingga RM8,000 setahun, Geran Sepadan sehingga RM10,000 bagi satu keluarga yang layak, dividen yang kompetitif, patuh syariah dan simpanan dijamin Kerajaan.

Manakala produk Simpan SSPN Plus pula menawarkan enam pakej simpanan yang terdiri daripada simpanan dan perlindungan takaful yang komprehensif dengan komitmen bulanan serendah RM30 sebulan iaitu hanya RM1 sehari sahaja.

Keistimewaan tambahan yang ditawarkan adalah manfaat perlindungan takaful sehingga RM1.2 juta, manfaat khairat kematian kepada pendeposit, pasangan dan anak-anak maksimum lima orang anak, manfaat takaful penyakit kritikal, elaun kemasukan hospital, perlindungan takaful sehingga umur pendeposit 69 tahun dan manfaat ini tertakluk kepada Syarikat Pengendali Takaful yang dipilih oleh pendeposit.

Selain itu, komitmen serendah RM30 sebulan untuk pakej intan dan tiada pemeriksaan kesihatan kecuali yang ingin membuka akaun pakej Berlian, hanya perlu menjawab tiga soalan kesihatan.

Maklumat lanjut berkenaan Simpan SSPN boleh diperoleh melalui portal rasmi www.ptptn.gov.my atau aplikasi myPTPTN untuk perkhidmatan yang lebih mudah, cepat dan selamat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

125
Kongsi :
Previous post MELAKA SERIUS PERKASA TVET
Next post ORANG JASIN, JOM TUKAR BARANG TERPAKAI JADI DUIT 7 DISEMBER INI
Ubah saiz-+=