monkeypox-1

WHO isytihar cacar monyet kecemasan kesihatan global

GENEVA, 24 Julai – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Sabtu mengisytiharkan cacar monyet sebagai kecemasan kesihatan global, iaitu tahap amaran tertinggi bagi sesuatu penyakit.

Ketua pengarah WHO, Tedros Ghebreyesus berkata keputusan itu dibuat meskipun badan penasihat tidak bersetuju dengan penilaian, lapor Agensi Anadolu.

Dengan sembilan ahli jawatankuasa menentang manakala enam lagi menyokong, Tedros berkata keputusannya adalah sebagai “pemecah seri.”

Beliau berkata lebih 16,000 kes dan lima kematian telah dilaporkan di 75 negara dan wilayah.

“Menurut penilaian WHO, risiko cacar monyet adalah sederhana di seluruh dunia, kecuali di rantau Eropah, penilaian risiko berada pada tahap tinggi.

“Wabak telah merebak dengan cepat di seluruh dunia, melalui kaedah penyebaran baharu, dan kami mempunyai maklumat yang terhad mengenai hal itu.

“Walaupun saya mengisytiharkan kecemasan kesihatan global, wabak itu setakat ini menjangkiti golongan lelaki yang melakukan hubungan seks dengan lelaki, terutama mereka yang mempunyai ramai pasangan seksual,” kata Tedros.

Beliau menegaskan bahawa wabak itu boleh dihentikan menerusi kaedah dan strategi yang betul membabitkan kumpulan itu.

“Oleh itu adalah penting untuk semua negara bekerjasama rapat dengan komuniti itu, untuk menyampaikan maklumat dan perkhidmatan secara berkesan, dan untuk menerima pakai langkah-langkah melindungi kesihatan,” katanya.

Tedros turut menyeru masyarakat sivil, termasuk mereka yang berpengalaman bekerja dengan penghidap HIV, untuk bekerjasama dengan WHO memerangi stigma dan diskriminasi.

“Dengan kaedah yang dimiliki sekarang, kita boleh menghentikan penularan dan mengawal wabak ini,” katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

102
295358247_412922187532669_1255805849181547254_n Previous post KPDNHEP Selangor rampas minyak masak bersubsidi bernilai hampir RM5,000 di Sepang
294162981_575857764208290_2934283249060870590_n Next post 30 individu termasuk penganjur perhimpunan #Turun dipanggil beri keterangan