KPDNHEP Selangor rampas minyak masak bersubsidi bernilai hampir RM5,000 di Sepang

Masa Membaca:1 Minit, 41 Saat

PUTRAJAYA, 24 Julai – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor merampas 1,944 kilogram minyak masak bersubsidi bernilai RM4,860 dalam serbuan di sebuah pasar raya di Kota Warisan, Sepang, Jumaat lepas.

Pengarah Penguat kuasa KPDNHEP Azman Adam berkata dalam serbuan kira-kira pukul 10 pagi itu, pihaknya turut merampas beberapa resit berkaitan urus niaga minyak masak bersubsidi dari premis terbabit.

“Berdasarkan aduan orang awam, premis ini disyaki menyorok minyak masak bersubsidi peket daripada dijual kepada pelanggan serta wujud perlakuan tidak beretika iaitu penjualan bersyarat dan menyimpan sejumlah minyak masak bersubsidi di stor premis itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Azman berkata berdasarkan aduan, premis terbabit menetapkan syarat agar pembeli membeli barangan keperluan lain bagi membolehkan pembelian minyak masak bersubsidi.

Katanya, premis terbabit telah dikenakan tindakan di bawah Seksyen 19, Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 atas kesalahan meletakkan syarat-syarat yang menyalahi undang-undang semasa menjual barang kawalan.

Beliau berkata premis terbabit juga gagal menyerahkan dokumen deklarasi maklumat berhubung keberadaan sebenar bekalan minyak masak bersubsidi kepada pihak penguatkuasa.

Katanya, premis itu akan disiasat di bawah AKB 1961 berdasarkan Seksyen 16A (1)(b) atas keengganan menjual barangan berjadual dalam milikannya dengan kuantiti yang munasabah kepada pelanggan dalam urusan perniagaan serta Peraturan 13 (1) dan (2) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 berkaitan penyelenggaraan buku stok bagi barangan berjadual oleh pemborong dan peruncit.

Jika sabit kesalahan di bawah Seksyen 22 (1) AKB 1961, Azman berkata penjual boleh didenda tidak melebihi RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

“Tindakan tegas tanpa kompromi dalam penguatkuasaan akan dikenakan bagi membanteras sindiket penyelewengan barang kawalan dan subsidi demi kepentingan pengguna,” katanya.

Katanya, pengguna disarankan menyalurkan maklumat berkaitan perlakuan penyelewengan barangan subsidi melalui saluran rasmi seperti WhatsApp 019-2794317 dan 019-848 8000, portal eaduan.kpdnhep.gov.my, talian 1-800-886-800, portal [email protected], aplikasi Ez ADU dan Pusat Arahan Penguatkuasaan (ECC) 03-8882 6088.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1004
Kongsi :
Previous post Pulau Undan, Nangka, Dodol diwartakan hujung tahun ini
Next post WHO isytihar cacar monyet kecemasan kesihatan global
Ubah saiz-+=