Pulau Undan, Nangka, Dodol diwartakan hujung tahun ini
TELOK MAS 24 Julai – Tiga pulau di negeri ini bakal diwartakan sebagai Taman Laut Negara, selewat-lewatnya hujung tahun ini.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1 (MAFI) Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata, proses pewartaan itu kini sudah diperingkat kerajaan persekutuan selepas kerajaan negeri sudah meluluskan permohonan yang dibuat pada hujung tahun lalu.
Beliau berkata, proses pewartaan tiga pulau yang terbabit iaitu Pulau Undan, Pulau Nangka dan Pulau Dodol membabitkan kos berjumlah lebih RM1 juta.
“Sekarang sudah diluluskan oleh kerajaan negeri untuk wartakan dan Insyaallah sebelum akhir tahun ini kita akan laksanakan pewartaan ini.
“Untuk peringkat pertama Kementerian Pertanian Malaysia meluluskan lebih RM1 juta selain akan membabitkan beberapa peringkat mengikut kesesuaian bagi memastikan ketiga-tiga pulau ini akan menjadi kawasan perlindungan Marine Protected Area (MPA),” katanya.
Beliau berkata demikian di sidang media pada Program Melabuh Tukun Tiruan Konkrit di Perairan Pulau Nangka, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pengarah Perikanan Malaysia Mohd Sufian Sulaiman dan Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dan Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjid negeri Datuk Rahmad Mariman.
Menurutnya, selepas diwartakan dibawah Seksyen 41 Akta Perikanan 1985 (Akta 317) kelak, kawasan itu akan dikawal oleh Jabatan Perikanan.
“Ketiga-tiga pulau ini kita kenal pasti mempunyai terumbu karang yang luar biasa dan apabila diwartakan nanti akan dikawal oleh Jabatan Perikanan.
“Malah apabila diwartakan kelak bukan hanya kawasan itu habitatnya bertambah tetapi akan melimpah ke kawasan berdekatan juga,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.