Wujud inisiatif ‘satu beca, satu pantun’

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

BANDA HILIR 5 April – Sebagai duta kecil pelancongan, pengayuh beca khusus sekitar Banda Hilir diminta untuk bersama-sama memartabatkan seni warisan pantun, sekali gus memeriahkan lagi Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata, menerusi inisiatif ‘Satu Beca, Satu Pantun’ itu Kerajaan Negeri menawarkan hadiah wang tunai bagi pengayuh beca yang menghasilkan pantun terbaik.

“Pantun yang dihasilkan perlulah digantung pada bahagian belakang setiap beca berkenaan dan kita akan pilih mana yang terbaik.

“Saya beri tempoh sebulan kepada pengayuh beca ini untuk menghasilkan pantun terbaik, setiap penyertaan akan diberikan wang tunai RM10. Sementara itu bagi pantun terbaik akan menerima wang tunai RM500,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri Kerajaan Negeri Melaka Tahun 2024 kepada Pengusaha-pengusaha Beca Melaka di Auditorium Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) di sini, semalam.

Hadir sama Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman dan Timbalannya, Datuk Zaidi Attan, Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pembangunan), Datuk Md Azhan Samat @Limat serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Shadan Othman.

Terdahulu Ab Rauf menyampaikan sumbangan Hari Raya Aidilfitri berjumlah RM64,250 termasuk kit makanan kepada 257 pengayuh beca Negeri Melaka.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

65
Kongsi :
Previous post ‘Saya bekerja bersama insan terbaik membangunkan Melaka’ – KM
Next post Kerajaan komited cari jalan naikkan gaji penjawat awam sebelum akhir tahun ini – PM
Ubah saiz-+=