Wujudkan pangkalan data longkang tanah – Exco

Masa Membaca:1 Minit, 32 Saat

SERI NEGERI 1 Ogos – Kerajaan Negeri akan mewujudkan satu pangkalan data bagi merekod keseluruhan sistem saliran di Melaka termasuk membabitkan longkang tanah.

Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Kemudahan Awam dan Pengangkutan negeri, Datuk Hameed Mytheen Kunju Basheer berkata, jika dilaksanakan kelak data itu akan membantu memudahkan urusan penyelenggaraan sistem saliran.

“Perkara ini membabitkan isu pemilikan, kadang-kadang kita tidak tahu siapa pemiliknya dan ia dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) atau pejabat daerah.

“Jadi kita bercadang untuk wujudkan pangkalan data dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) untuk memudahkan kita mengenal pasti lokasi, panjang, kelebaran dan kedalaman longkang selain siapa pemiliknya.

“Bagaimanapun, cadangan itu masih di peringkat perbincangan antara agensi teknikal. Jika kita terima maklumbalas positif daripada semua agensi maka kita akan pertimbangkan sistem itu. Kemudian bru kita tahu siapa pemilik longkang-longkang tanah tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Siti Faizah Abd Azis (BN- Sungai Rambai) mengenai tindakan Kerajaan Negeri berhubung isu longkang tanah pada hari kedua Persidangan Kedua, Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.

Jelasnya, isu hak milik longkang tanah perlu diselesaikan bagi memastikan kerja-kerja penyelanggaran dan baik pulih dapat dilaksanakan.

“Isu utama kita hadapi adalah status hak milik longkang-longkang tanah sama ada pemilikan individu atau agensi. Jika isu pemilikan tidak diselesaikan, maka agensi terlibat tidak dapat laksanakan penyelengaraan atau naik taraf.

“Selain itu, isu pembinaan rumah kampung yang tidak mendapat kebenaran merancang juga menjadi salah satu punca apabila air buangan daripada kediaman ini meningkat,” katanya.

Ujarnya lagi, mana-mana agensi atau jabatan yang ingin membuat permohonan pembinaan longkang baharu perlu mengenal pasti terlebih dahulu hak milik longkang tanah tersebut.

“Ini kerana kebenaran pemilik tanah adalah sangat penting jika mahu menyelesaikan masalah longkang-longkang tanah ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1021
Kongsi :
Previous post Ahli Jawatankuasa DUN Melaka yang baharu dilantik
Next post JKM perkasa program ilmiah kesihatan mental pelajar sekolah – Exco
Ubah saiz-+=