Yasin lega tuduhan edar dadah babitkan hukuman gantung ditarik balik

Masa Membaca:2 Minit, 26 Saat

PETALING JAYA, 6 Julai – Penyanyi nasyid dan komposer, Muhammad Yasin Sulaiman hari ini terlepas daripada dakwaan mengedar dadah yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup selepas pihak pendakwaan menarik balik pertuduhan.

Pengarah Pendakwaan Selangor Khairul Azreem Mamat memaklumkan kepada Majistret Muhammad Iskandar Zainol bahawa pihaknya turut memohon supaya Muhammad Yasin, 47, dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) bagi kesalahan itu dan dia akan dituduh dengan dua pertuduhan baharu.

Peguam Ariff Azami Hussein, Mohd Yusmadi Mohd Yusoff dan Azizul Syariman Mat Yusoff yang mewakili Muhammad Yasin tidak membantah permohonan itu.

Muhammad Iskandar kemudian melepas tanpa membebaskan tertuduh daripada pertuduhan mengedar dadah mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan jika tidak dijatuhkan hukuman mati, dijatuhkan hukuman sebatan tidak kurang daripada 15 sebatan, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini Muhammad Yasin didakwa mengedar dadah jenis ganja anggaran berat 214 gram di kediamannya di Persiaran Surian Damansara Indah Resort Home, PJU 3, Kota Damansara di sini pada 5.30 petang, 24 Mac lepas.

Sementara itu, Muhammad Yasin mengaku tidak bersalah atas pertuduhan baharu.

Dia didakwa memberikan dirinya dadah jenis ’11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid’ di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Petaling Jaya, pada 11.05 malam, 24 Mac lepas.

Pelantun lagu Mimpi Laila itu dituduh mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya dan boleh dihukum di bawah Seksyen 15 (1) akta yang sama, yang membawa hukuman denda tidak lebih RM5,000 atau dikenakan penjara maksimum dua tahun, jika sabit kesalahan.

Sementara itu, di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Jamaludin Mat, dia juga mengaku tidak bersalah atas satu lagi pertuduhan baharu iaitu memiliki dadah jenis kanabis seberat 193.7 gram.

Muhammad Yasin dituduh melakukan perbuatan itu di kediamannya pada 5.30 petang, 24 Mac lepas dan pertuduhan mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup atau tidak kurang lima tahun dan boleh dikenakan hukuman sebat tidak kurang 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Sebelum ini, di mahkamah sama, Muhammad Yasin mengaku tidak bersalah atas tuduhan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah dan daripadanya kanabis di kediamannya pada tarikh dan masa sama.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 6B (1) (a) Akta Dadah Berbahaya dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6B (3) akta sama, yang memperuntukkan penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang daripada enam sebatan, jika sabit kesalahan.

Permohonan ikat jamin terhadap Muhammad Yasin yang ditahan di Penjara Sungai Buloh, bagi ketiga-tiga pertuduhan itu akan didengar pada 22 Ogos ini.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Muhammad Yasin berkata beliau lega selepas pertuduhan mengedar dadah yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati ditarik balik.

“Alhamdulillah, saya mengikut proses dan peruntukan undang-undang sedia ada, dan saya amat bersyukur. Saya mengucapkan terima kasih kepada rakan dan keluarga yang banyak memberikan sokongan, merekalah sumber kekuatan utama saya,” katanya.

— BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1243
Kongsi :
Previous post Empat alat AED dipasang di Seri Negeri, atasi serangan jantung
Next post Melaka rancang hantar misi bantuan banjir ke Baling – KM
Ubah saiz-+=