Yuran Tadika JAIM bagi murid tidak hadir sepanjang tempoh PKP perlu dipulangkan

Masa Membaca:1 Minit, 11 Saat

AYER KEROH 27 Jan. – Yuran bulanan bagi murid yang tidak hadir ke Tadika Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 hendaklah dipulangkan.

Itu antara yang telah digariskan kerajaan negeri dalam usaha mengurangkan beban ibu bapa sepanjang tempoh tiga minggu negara melaksanakan PKP 2.0 bermula 21 Januari hingga 4 Februari depan.

Ketua Menteri Datuk Seri Utama Haji Sulaiman Md Ali berkata, sehingga kini Tadika JAIM di kawasan zon merah dan jingga di negeri ini masih ditutup sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan kemudian.

Situasi itu, jelasnya, membuatkan murid di kawasan zon merah dan jingga terpaksa menjalani proses pengajaran dan pembelajaran di rumah mengikut kesesuaian guru dan murid.

Bagaimanapun, ujarnya, bagi Tadika JAIM di kawasan zon hijau dan kuning masih dibenarkan beroperasi dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat seperti yang digariskan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Tadika JAIM di zon hijau dan kuning juga perlulah melakukan sanitasi dalam ruangan tadika secara berkala serta tidak membenarkan murid bergejala untuk hadir ke tadika.

“Manakala, bagi tadika yang tidak boleh menampung keseluruhan murid (5 tahun dan 6 tahun) pengoperasian premis hendaklah secara bergilir dengan penjarakan satu meter.

“Selain itu, pihak tadika juga perlu membuat pemakluman kepada ibu bapa bahawa kehadiran anak-anak ke tadika adalah secara sukarela dan tiada paksaan, selain perlu memulangkan semula yuran bulanan bagi murid tidak hadir sepanjang PKP,” katanya dalam satu kenyataan.

Views:

1425
Kongsi :
Previous post Polis marin didakwa atas 101 lagi pertuduhan menerima rasuah
Next post Bantuan Prihatin Rakyat dipercepat dari Mei kepada akhir Februari ini
Ubah saiz-+=