Zakat Melaka taja baju raya untuk 160 anak yatim, fakir miskin

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

BUKIT PIATU 26 Mac – Seramai 160 anak-anak fakir, miskin dan anak yatim seluruh Melaka, diraikan Zakat Melaka menerusi Program Tautan Kasih Ramadan.

Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Datuk Mohamad Azmi Sabtu berkata, menerusi program tersebut anak-anak yang terpilih itu menerima pemberian set kelengkapan baju raya bersempena ketibaan syawal tidak lama lagi.

“Program ini diadakan secara berperingkat antara 26 hingga 28 Mac membabitkan seramai 160 anak-anak.

“Anak-anak ini dipilih daripada sekolah seluruh Melaka dengan setiap sekolah diwakili lima murid. Selain baju raya mereka turut diberikan sumbangan duit raya,” katanya.

Terdahulu, beliau hadir menyantuni penerima sumbangan yang turut dihadiri Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) Datuk Badaruddin Mohd Kassim.

Mohamad Azmi berkata, pihaknya amat berharap dengan sumbangan diberikan itu, ia akan meringankan beban terutamanya ibu bapa dalam menyediakan kelengkapan raya buat anak mereka.

“Pemberian sumbangan ini secara tidak langsung dapat memberi peluang kepada mereka yang kurang berkemampuan meraikan kegembiraan Aidilfitri.

“Mungkin ada yang beranggapan sumbangan baju raya ini hanya satu pemberian kecil tetapi ianya amat bermakna dan berharga untuk anak-anak kecil ini apabila mereka dapat memilih sendiri baju yang akan dipakai pada pagi syawal,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

308
Kongsi :
Previous post Kelab Rekreasi dan Kebajikan CMI agih 500 pek bubur lambuk
Next post Rewang kacau bubur Melaka meriah!
Ubah saiz-+=