Rewang kacau bubur Melaka meriah!

Masa Membaca:1 Minit, 28 Saat

BANDA HILIR 26 Mac – Sebanyak 6,500 pek bubur pelbagai jenis telah diagihkan buat pengguna jalan raya yang melalui di pusat bandar di Banda Hilir, di sini, hari ini.

Program ‘Jom Rewang Kacau Bubur’ diadakan sempena Bulan Pelancongan Islam dan Program Ihya’ Ramadan 1445H Peringkat Negeri Melaka 2024 itu sekali gus mampu merancakkan sambutan pelancongan negeri sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).

Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rosli Abdullah berkata, program tersebut melibatkan seramai 200 peserta daripada 20 agensi Kerajaan Negeri dan Persekutuan yang bergabung dan bergotong-royong di Pavilion TMM2024, Padang Dataran Pahlawan Megamall.

Menurutnya, sebanyak lima jenis bubur berjaya disiapkan membabitkan 15 kawah periuk sebelum ia dibungkus dan diagihkan bermula jam 3 petang.

“Antara bubur yang dihasilkan ialah bubur lambuk, bubur kacang hijau, bubur pulut hitam dan bubur jagung, yang mana ia diagihkan sebagai juadah berbuka puasa kepada pengguna jalan raya dan pelancong.

“Program ini mampu menambah seri sambutan TMM2024 dan pada masa sama berjaya mengeratkan hubungan di antara jabatan serta agensi Kerajaan Negeri bersama masyarakat.

“Pelbagai acara kerohanian lain juga telah dan akan diadakan sepanjang kalendar Bulan Pelancongan Islam ini bagi meningkatkan fahaman tentang agama Islam dalam industri pelancongan negeri,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Photo1711448591
ROSLI mengagihkan bubur kepada pengguna jalan raya. Foto Muhammad Rasul Azli Samad

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Datuk Mohamad Azmi Sabtu dan Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Datuk Badaruddin Mohd Kassim.

Terdahulu, Rosli bersama 30 peserta telah mengagihkan bubur berkenaan kepada orang ramai di Jalan Tun Khalil Yaakob.

Meskipun cuaca panas, program tersebut mendapat sambutan hebat daripada pengguna jalan raya bagi mendapatkan bubur percuma sebagai juadah berbuka puasa.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

971
Kongsi :
Previous post Zakat Melaka taja baju raya untuk 160 anak yatim, fakir miskin
Next post 5 ‘port hiking’ terbaik di Melaka
Ubah saiz-+=