Zakat Pendapatan penyumbang utama Zakat Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 27 Saat

BANDA HILIR 18 Mei – Zakat Pendapatan merupakan penyumbang utama kutipan zakat di Negeri Melaka secara keseluruhan.

Ketua Pegawai Eksekutif Zakat Melaka, Datuk Mohamad Azmi Sabtu berkata, sehingga 17 Mei tahun ini, bayaran Zakat Pendapatan yang diterima di negeri ini adalah lebih RM35.3 juta.

Menurut beliau, penyumbang kedua terbesar pula adalah Zakat Wang Simpanan dengan jumlah RM12.6 juta, diikuti Zakat Perniagaan berjumlah RM11.6 juta dan Zakat Fitrah RM6.18 juta.

“Secara keseluruhan Zakat Melaka berjaya mengutip bayaran zakat sebanyak RM66.9 juta setakat awal Mei lalu.

“Zakat Melaka akan terus komited menyedia dan mempelbagaikan kaedah pembayaran zakat sekali gus mempertingkatkan kualiti dan memperbanyakkan hebahan informasi mengenai aktiviti penyerahan serta bantuan zakat.

“Ini bagi memastikan masyarakat tahu kemanakah wang zakat mereka disalurkan, selain membuktikan pengagihan zakat lebih telus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Apresiasi dan Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) Zakat Melaka 2023 yang disempurnakan Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh di sebuah hotel, di sini, malam tadi.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman; Mufti Kerajaan Negeri Melaka, Datuk Wira Abdul Halim Tawil; Pengarah Jabatan Agama Islam Melaka, Datuk Badaruddin Mohd Kassim dan Setiausaha Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Shaifulfazlee Mohamad serta kenamaan lain.

Pada majlis itu seramai 16 kakitangan Zakat Melaka menerima anugerah yang disampaikan oleh Ab Rauf.

Mengikut pecahan, seramai lima menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang, manakala 11 penerima Anugerah Khas iaitu Anugerah Pengerusi Zakat; Anugerah Ketua Pegawai Eksekutif; Anugerah Pegawai Terbaik (Ibu Pejabat); Anugerah Pegawai Terbaik (Cawangan); Anugerah Pegawai Integriti; Anugerah Pegawai Berpesonaliti.

Turut disampaikan Anugerah Khidmat Setia 2023 Lelaki dan Wanita; Anugerah Pegawai Harapan; Anugerah Kehadiran Terbaik 2023 dan Anugerah Pegawai Inovasi.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

194
Kongsi :
Previous post 30 kios baharu MPAG lebih tersusun, mesra peniaga
Next post KPKT salur RM83.66 juta bagi 17 projek di Melaka
Ubah saiz-+=