Sorting by

×

Ziyad Zolkefli minta maaf

Masa Membaca:1 Minit, 46 Saat

TOKYO 1 Sept – Hanya ungkapan maaf yang mampu dikeluarkan jaguh olahraga, Muhammad Ziyad Zolkefli selepas terlepas peluang mempertahankan emas Rio 2016 dalam acara lontar peluru lelaki F20 (kecacatan intelektual) di Sukan Paralimpik Tokyo, malam tadi.

Atlet kebangsaan Muhammad Ziyad Zolkefli yang memecahkan rekod dunia dua kali dan boleh memenangi emas dalam acara tersebut telah diklasifikasikan sebagai Did Not Start (DNS) atau tidak memulakan saingan kerana protes dilakukan terhadapnya oleh pasukan Ukraine yang mendakwa beliau lewat melapor diri di bilik menunggu sebelum pertandingan berlangsung.

Protes serupa juga dilakukan terhadap atlet dari Australia Todd Hodgets dan Jordi Patricio Congo Villalba dari Ecuador yang turut diklasifikasikan DNS.

“Saya minta maaf kepada semua rakyat Malaysia, terima kasih memberi sokongan pada saya,” katanya di laman Instagram hari ini.

Kontroversi melanda hari ketujuh temasya berprestij itu menyaksikan atlet Ukraine, Maksym Koval diumum sebagai pemenang emas dengan lontaran 17.34m sekali gus memecah rekod dunia milik Muhammad Ziyad.

Perak juga milik atlet Ukraine, Oleksandr Yarovyi, dengan lontaran 17.30m manakala gangsa milik Efstratios Nikolaidis dari Greece, dengan lontaran 15.93m.

Kontinjen Malaysia bersama Australia dan Ecuador yang tidak berpuas hati dengan keputusan berkenaan telah melancarkan protes sejurus keputusan akhir dikeluarkan kepada pihak jawatankuasa teknikal pertandingan.

Ketua kontinjennya, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin juga memberitahu akan membuat rayuan kepada Jawatankuasa Paralimpik Antarabangsa dan World Para Athletics (WPA) berhubung keputusan itu.

Namun, WPA dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan telah menolak rayuan Malaysia dan juga Australia serta Ecuador berhubung keputusan acara itu.

Keputusan itu berdasarkan Peraturan 5.5 Atlet Para Dunia – ‘Kegagalan Melapor Diri Di Bilik Menunggu’ yang menyatakan bahawa sekiranya atlet tidak hadir di bilik berkenaan pada waktu dinyatakan dalam jadual Bilik Menunggu, keputusan mereka akan dinyatakan sebagai DNS.

Terdahulu, Muhammad Ziyad mencuri tumpuan selepas ‘memecah’ rekod dunia pada lontaran pertama iaitu dengan lontaran 17.29m pada Kejohanan Olahraga Para Dunia di London pada 2017, dengan catatan 17.31m pada lontaran pertamanya.

Beliau kemudian terus menampilkan aksi menakjubkan apabila memperbaiki rekod dunianya dalam lontaran ketiga iaitu dengan 17.94m, jauh mengatasi pencabar lain sebelum menerima khabar buruk berhubung keputusan kontroversi itu.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

916
Kongsi :
Previous post Idris pastikan 14 agensi agama capai objektif ‘Keluarga Malaysia’
Next post 52 PATI dicekup Imigresen Melaka
Ubah saiz-+=