Sorting by

×

52 PATI dicekup Imigresen Melaka

Masa Membaca:1 Minit, 36 Saat

KOTA LAKSAMANA 1 Sept – Isu kebanjiran warga asing di rumah pekerja tapak pembinaan kondominium di sini, membongkar 52 pekerja warga asing tinggal secara haram di negara ini.

Pekerja asing tanpa izin (PATI) warga Bangladesh dan Myanmar itu ditahan dalam serbuan oleh 32 pegawai dan anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) negeri menerusi Op Sapu bermula jam 1.30 pagi semalam.

Pengarah Imigresen Melaka, Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, pihaknya menerima aduan orang awam mengenai kebanjiran warga asing di lokasi pembinaan itu.

Katanya, dalam operasi berkenaan 134 warga asing diperiksa dengan pecahan 119 lelaki warga Bangladesh 14 lagi warga Myanmar dan seorang lelaki warga Indonesia yang mempunyai taraf penduduk tetap.

ANGGOTA Imigresen Melaka memeriksa dokumentasi pekerja asing di penempatan pekerja tapak pembinaan di Kota Laksamana dalam Op Sapu malam tadi.

“Hasil pemeriksaan itu, 52 daripadanya berusia antara 25 hingga 45 tahun melakukan pelbagai kesalahan termasuk tidak mempunyai pengenalan diri dan dokumen perjalanan sah serta pas lawatan kerja tamat tempoh,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Anirwan Fauzee berkata, semua warga asing di penempatan itu sedang tidur dan tidak menyedari kehadiran anggota penguatkuasa yang mengepung kawasan terbabit.

“Oleh kerana kawasan pembinaan itu dikelilingi semak serta kedudukan lokasi berhampiran laut, penguat kuasa mengepung kawasan sekitar terlebih dahulu bagi mengelakkan PATI meloloskan diri.

“Hasil pemeriksaan di asrama pekerja asing itu, kita dapati pihak majikan juga gagal menyediakan penempatan selaras peraturan dalam Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Keadaan asrama sesak dan persekitaran kotor sehingga mendedahkan risiko kepada penyakit berjangkit,” katanya.

Menurut Anirwan Fauzee, semua tahanan dibawa ke Pusat Kesihatan Daerah (PKD) Melaka Tengah bagi menjalani ujian saringan COVID-19 sebelum dihantar ke Depot Tahanan Imigresen untuk tindakan lanjut.

Jelasnya, semua yang ditahan disiasat mengikut Akta Imigresen 1959/63 dan satu saman saksi dikeluarkan kepada wakil majikan bagi membantu siasatan.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

994
Kongsi :
Previous post Ziyad Zolkefli minta maaf
Next post Jasad anggota tentera di Bera, Pahang lemas ditemui
Ubah saiz-+=