Jasad anggota tentera di Bera, Pahang lemas ditemui

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

BERA 1 September – Jenazah anggota tentera 10 Briged Para yang dipercayai lemas ketika menjalani latihan Eksesais PARA PREDATOR di Bera, Pahang Sabtu lalu ditemukan pagi tadi.

Perkara itu disahkan Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Menurut kenyataan itu, TDM menerima maklumat penemuan jasad Allahyarham Lans Koperal Mohamad Azrin Mohamad Isa, 27, ditemui oleh penduduk Kampung Serengkam, Maran, Pahang pada jam 8.15 pagi tadi.

“Jasad Allahyarham ditemui kira-kira 70 kilometer daripada lokasi kejadian dia dipercayai hilang,” kata kenyataan itu.

TDM berkata, Mohamad Azrin dari pasukan kompeni PANDURA dipercayai lemas dan hilang ketika penyusupan menyeberangi Sungai Pahang bagi Eksesais PARA PREDATOR Siri 1/2021 di Kawasan Am, Bera, Pahang.

Jelasnya, ketika kejadian, anggota terbabit sedang melaksanakan Fasa Latihan Taktikal Menyeberangi Sungai di sekitar kawasan Kampung Batu Bor.

“Kejadian itu berkaku pada jam 4.40 petang, 29 Ogos lalu,” katanya.

Berikutan penemuan itu, TDM turut mengucapkan terima kasih kepada semua agensi dan penduduk kampung yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) anggota berkenaan.

“TDM merakamkan penghargaan terima kasih kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 2 Pahang, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta penduduk kampung.

“Mana-mana agensi lain yang turut terlibat diucapkan terima kasih kerana membantu secara langsung dan tidak langsung dalam melaksanakan SAR yang bermula 4.50 petang, 29 Ogos lalu,” kata kenyataan itu.

Sementara itu, adik arwah, Noor Suhada Mohamad Isa, 24, ketika dihubungi Melaka Hari Ini (MHI) hari ini memberitahu jenazah akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Kedah sebelum dikebumikan di sana.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1328
Kongsi :
Previous post 52 PATI dicekup Imigresen Melaka
Next post Bergaya dengan gaun Jalur Gemilang ke PPV
Ubah saiz-+=