Sorting by

×

Bergaya dengan gaun Jalur Gemilang ke PPV

Masa Membaca:1 Minit, 48 Saat

CHENG 1 Sept – “Idea mengenakan busana Jalur Gemilang ini timbul apabila tarikh vaksinasi jatuh pada sambutan Hari Kemerdekaan semalam,” kata pekerja pasar raya, P Thiripathi.

Thiripathi, 39, mencuri tumpuan apabila mengenakan gaun Jalur Gemilang ke Pusat Pemberian Vaksin (PPV) SPA City Mall, di sini, semalam bagi melengkapkan dos kedua vaksin COVID-19 sehingga ada dalam kalangan petugas barisan hadapan teruja bergambar dengannya.

Katanya, sebanyak lima Jalur Gemilang bersaiz besar digunakan untuk menyiapkan busana gaun moden itu yang dijahit oleh anak saudaranya yang juga seorang tukang jahit.

“Sebenarnya dia (anak saudara) tak nak jahit pada mulanya kerana takut tak sempat siap, tapi saya pujuk dia sebab memang sudah lama teringin nak pakai baju bendera ini.

“Awalnya saya nak buat sari saja tapi ia memerlukan 10 bendera dan kos agak tinggi, jadi fikir nak buat baju Punjabi tetapi sama jugak memerlukan banyak bendera.

“Selepas itu anak saudara beritahu dia hanya perlu lima helai bendera saja untuk buat gaun, jadi terus setuju,” ujarnya dihubungi MHI.

ANGGOTA RELA turut merakam gambar dengan Thiripathi di PPV SPA City Mall. Foto kredit Thiripathi.

Beliau turut berkongsi pengalaman semasa mengenakan busana Jalur Gemilang.

“Selepas bersiap pada jam 6.30 pagi semala saya terus ke Balai Polis Tampin untuk mengambil Bunga Raya.

“Yang lucunya anggota polis bertugas ingat saya ada masalah, tapi bila tengok baju saya terus dia bagi kebenaran saya petik bunga, dan sempat ucap Selamat Hari Merdeka.

“Dalam perjalanan ke pusat vaksin saya rasa berdebar memikirkan apa pandangan orang ramai, tetapi bila turun saja dari kereta terus seorang pegawai RELA tegur dan memuji penampilan saya membuatkan saya rasa bangga dan tenang,” kongsinya.

Thiripathi berkata, beliau turut menerima komen negatif di aplikasi Tiktoknya selain ditertawakan orang ramai apabila pergi membeli makanan dengan memakai busana itu semalam.

Katanya dia tidak mengambil hati terhadap komen diberikan serta memohon maaf jika tindakannya memakai baju diperbuat daripada Jalur Gemilang dianggap satu kesalahan.

“Saya terus tegur kenapa nak gelak? Saya katakan saya tidak malu malah bangga pakai gaun Jalur Gemilang.

“Saya tiada niat nak jadi popular sebaliknya bangga dan gembira menjadi anak Malaysia,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1006
Kongsi :
Previous post Jasad anggota tentera di Bera, Pahang lemas ditemui
Next post ‘Ziyad tetap hero di hati kami’
Ubah saiz-+=