Zoo Melaka disaran tambah baik perkhidmatan

Masa Membaca:1 Minit, 30 Saat

AYER KEROH 26 Sept. – Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) selaku pengendali Zoo Melaka disaran melakukan beberapa penambahbaikan sebagai persediaan lengkap menerima kunjungan pelancong pada sebilang masa.

Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ts. Kamel Mohamad berkata, ia termasuk meningkatkan pembersihan sekitar kawasan zoo dan menawarkan program sukarelawan dalam kalangan pelajar universiti yang berminat menjalankan latihan di situ.

Menurutnya, persediaan yang selengkapnya perlu dilakukan bagi memastikan pihak penggerak industri pelancongan di negeri ini bersedia sepenuhnya untuk menerima kunjungan.

KAMEL…gesa pengurusan Zoo Melaka lakukan beberapa penambahbaikan sebagai persediaan lengkap menerima kunjungan pelancong.

“Kita mahu pastikan sebelum zoo boleh dibuka nanti, keadaan sekitarnya dalam keadaan bersih, bermula dengan penyambut tetamu sehinggalah pekerja menjaga haiwan, semuanya sudah bersedia.

“Bagi tujuan itu juga, kita cadangkan penambah baikan juga boleh dibuat dengan menyediakan program sukarelawan dalam kalangan pelajar universiti yang mengambil pengajian berkaitan zoo,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika meninjau persiapan Zoo Melaka untuk menerima pelawat bermula 1 Oktober ini.

Turut mengiringi lawatan beliau ialah Yang Dipertua MPHTJ, Datuk Shadan Othman dan kakitangan zoo.

Kali terakhir Zoo Melaka menerima kunjungan pelawat pada awal Mei lalu sebelum ditutup sehingga kini ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Selain itu nenurut Kamel, kerajaan negeri mengambil pendekatan tidak mahu tergesa-gesa dalam mengambil keputusan membenarkan lebih banyak pembukaan sektor industri atau perkhidmatan di negeri ini.

“Sektor pelancongan ataupun perkhidmatan tidak boleh dibuka secara tergesa-gesa sebaliknya perlu dipastikan bersedia selengkapkan sebelum dibenarkan dibuka.

“Kita tidak mahu jadi seperti ini, boleh buka hari ini tetapi terpaksa tutup semula esok atau lusanya pula, ini kerja yang memenatkan,” kata beliau.

“Kita faham ada sektor-sektor yang terkesan tetapi kita nak pastikan supaya bila buka nanti, kita buka terus dan kita akan terima kunjungan,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1134
Kongsi :
Previous post Zoo Melaka sedia terima pelawat
Next post Kerajaan negeri rancang bina 46,010 unit RMM
Ubah saiz-+=