Zoo Melaka sedia terima pelawat

Masa Membaca:1 Minit, 45 Saat

AYER KEROH 26 Sept. – Setelah hampir 10 bulan ditutup, Zoo Melaka kini sudah bersedia menerima kunjungan pelawat dijangka bermula Jumaat ini.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman berkata, bagaimanapun pembukaan itu masih bergantung kepada keputusan kerajaan negeri sama ada bagi pelancong tempatan terlebih dulu atau diperluas kepada pelancong luar negeri.

Beliau berkata, pembukaan semula zoo nanti mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat berbanding sebelum ini seperti ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

SHADAN.

“Sudah tentu bila dibenarkan dibuka semula nanti, pengunjung akan dikenakan SOP yang lebih ketat berbanding sebelum ini.

“Antaranya, hanya pengunjung yang lengkap dua vaksin dan wajib memaparkan daftar MySejahtera sebelum dibenarkan masuk manakala kanak-kanak perlu ada seliaan ibu bapa atau penjaga,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis lawatan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Ts. Kamel Mohamad bagi meninjau persiapan pihak pengurusan Zoom Melaka.

Menurut Shadan, pihaknya sudah mencapai 100 peratus imuniti kelompok memandangkan semua 96 kakitangannya sudah lengkap divaksinasi.

“Selain itu, kita juga telah bersedia dari segi kebersihan kawasan, apa jua SOP yang akan ditetapkan MKN,” kata beliau.

Beliau menjangkakan kunjungan pelawat mencapai lebih 700 orang pada satu-satu masa apabila pembukaan semula Zoo Melaka nanti.

Ini kerana, katanya, berdasarkan pengalaman terdahulu Zoo Melaka pernah mencapai kunjungan 10,000 orang sehari setelah dibuka semula sebelum ini.

Sepanjang tiga bulan penutupan zoo dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu, pihaknya beroperasi secara maya melalui platform ZooToYou yang berjaya menarik kunjungan 30,000 orang.

Ujarnya, melalui platform media itu sejumlah RM250,000 berjaya dikumpulkan hasil sumbangan orang ramai.

Sementara pada perkembangan yang sama, Zoo Melaka melakar sejarah apabila Ungka Tangan Putih yang terdapat di Zoo Melaka melahirkan anak kembar pada kira-kira dua minggu lalu, sekali gus mencatatkan rekod pertama kali berlaku di Asia.

Menurut Shadan, perkara itu disahkan oleh pakar Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mengatakan Ungka beranak kembar ini tidak pernah berlaku di Asia sebelum ini.

“Ia hanya pernah dilihat satu di Zurich dan di Asia pula, inilah yang berlaku di Zoo Melaka,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

729
Kongsi :
Previous post 83.1 peratus individu dewasa lengkap vaksinasi setakat semalam
Next post Zoo Melaka disaran tambah baik perkhidmatan
Ubah saiz-+=