Zoo Melaka tambah baik tarikan baharu mulai Disember

Masa Membaca:59 Saat

AYER KEROH 12 Okt. – Kerajaan negeri menandatangani perjanjian usahasama bagi menambahbaik tarikan baharu di Zoo Melaka bermula Disember ini.

Perjanjian itu dimeterai Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) bersama dua syarikat iaitu Wegrow Global Sdn. Bhd., dan Wildlife Concepts Consultancy Sdn. Bhd.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri Datuk Seri Abdul Ghafaar Atan berkata, perjanjian itu bagi mewujudkan ‘Dinosaur Encounter’ dan menambahbaik persembahan haiwan di Zoo Melaka.

“WeGrow Global akan mewujudkan ‘Dinosaur Encounter’ di kawasan Mini Safari dengan pelaburan sejumlah RM12 juta bagi tarikan baharu di kawasan itu.

“Manakala, Wildlife Concepts akan menambahbaik persembahan haiwan di Zoo Melaka melibatkan pelaburan sejumlah RM5 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis tersebut di Hotel Ames, hari ini.

Jelasnya, dengan adanya penambahbaikan itu Zoo Melaka sudah pasti dapat menarik lebih ramai kehadiran pelancong domestik ke negeri ini dalam tempoh pandemik COVID-19.

“Setakat ini lebih 100,000 pelancong direkodkan mengunjungi Zoo Melaka dan sudah pasti usaha ini mampu menambah lagi bilangan pelancong,” katanya.

Hadir sama, Yang Dipertua MPHTJ Datuk Shadan Othman; Pengarah Urusan Wegrow Global Sdn. Bhd. Teh Eu Jin serta Pengarah Wildlife Concepts Consultancy Sdn. Bhd., Wong Tack Foo dan Charanjit Singh.

Views:

1114
Kongsi :
Previous post Nelayan semakin kurang, mahukan pendapatan tetap
Next post 121 individu termasuk penagih dan pengedar dadah diberkas
Ubah saiz-+=