Nelayan semakin kurang, mahukan pendapatan tetap

Masa Membaca:1 Minit, 54 Saat

TANJUNG BIDARA 12 Okt. – Jumlah nelayan pinggir pantai yang semakin berkurangan sejak 10 tahun lalu menyebabkan nelayan yang masih beroperasi terpaksa mengeluarkan kos memasang ‘winch’ untuk menarik perahu ke pangkalan.

Berbeza dengan keadaan 10 tahun lalu yang menyaksikan nelayan mampu menarik perahu kayu atau gentian kaca beramai-ramai dari gigi pantai ke pangkalan berikutan jumlah mereka ramai, kini segalanya sudah berubah, apatah lagi kebanyakan mereka kini lebih memilih bekerja makan gaji dalam sektor perkilangan, pembinaan, perkhidmatan dan seumpamanya.

Mohd Ali Abu Bakar, 50, berkata beliau terpaksa membelanjakan RM2,000 untuk memasang jentera ‘winch’ yang amat diperlukan untuk menarik perahu dari gigi pantai ke pangkalan setiap kali pulang dari menangkap ikan.

“Dahulu kami meletakkan kayu galang di bawah lunas perahu dan menarik perahu beramai-ramai dan ia mudah dilakukan, tetapi sekarang nelayan semakin berkurangan
kerana pekerjaan ini tiada pendapatan tetap seperti mereka yang bekerja di darat.

“Jentera itu mampu menarik perahu yang dipenuhi jaring atau pukat, rawai dan enjin motor sangkut 30 atau 40 kuasa kuda,” katanya ketika ditemui memasang jentera berkenaan di pangkalan nelayan Kampung Pengkalan Balak, di sini hari
ini.

Beliau menjelaskan, jentera berkenaan digerakkan dengan menggunakan enjin berkuasa petrol yang dipasang tali besar dan tebal pada bahagian kereta sorong yang direka cipta sendiri oleh nelayan.

Katanya, kereta sorong yang mampu memuatkan keseluruhan perahu itu bernilai kira-kira RM1,000 seunit dan boleh digunakan dalam tempoh antara dua hingga tiga
tahun.

Kassim Abdul Majid, 57, berkata beliau terpaksa mengeluarkan perbelanjaan agar besar untuk memasang ‘winch’ dan membina kereta sorong bagi memastikan perahu
gentian kacanya mampu ditarik naik dari gigi pantai ke pangkalan.

“Dahulu kami tarik perahu beramai-ramai kerana orang yang mencari rezeki di laut ramai tetapi sekarang tidak ramai lagi yang berminat menangkap ikan kerana rezeki laut kadang-kala ada (ikan), kadang-kala hanya letih dan penat,” katanya ketika ditemui di pangkalan nelayan Kampung Padang Kemunting.

Beliau menjelaskan, amat sukar untuk mendapatkan anak muda yang berminat mencari rezeki di laut kerana pendapatan tidak menentu berbanding jika mereka bekerja kilang, sekurang-kurangnya mereka memperoleh gaji setiap hujung bulan.

Selain itu, dengan bekerja makan gaji, anak muda agak mudah membuat pinjaman kenderaan kerana memiliki penyata gaji berbanding jika mencari rezeki di laut.

Katanya, secara evolusi, jumlah nelayan semakin menguncup, sekali gus menyebabkan harga ikan meningkat berikutan permintaan melebihi penawaran.

Views:

907
Kongsi :
Previous post Kerajaan negeri dan JPS tidak beretorik
Next post Zoo Melaka tambah baik tarikan baharu mulai Disember
Ubah saiz-+=