Zoo Melaka tutup lima hari

AYER KEROH 10 Feb – Zoo Melaka ditutup selama lima hari, bermula hari ini sehingga 14 Feb (Isnin).

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Datuk Shadan Othman berkata, penutupan itu dilakukan bagi menjalankan kerja-kerja pembersihan dan sanitasi.

Katanya, ia sebagai antara langkah pencegahan awal memandangkan terdapat seorang penjaga haiwan di zoo itu positif COVID-19.

“Sebaik mengetahui terdapat anggota zoo positif COVID-19, dipercayai terkena jangkitan daripada ahli keluarga, dia terus menjalani kuarantin.

“Walaupun hanya seorang sahaja yang positif, kita ambil langkah pencegahan awal demi memastikan keselamatan pengunjung dan orang ramai.

“Selain itu, sanitasi dan pembersihan itu juga dilakukan sebagai persediaan menerima pengunjung menjelang cuti penggal persekolahan pada 25 Feb ini,” katanya dalam sidang media di Pejabat Yang Dipertua MPHTJ, hari ini.

SHADAN.

Mengulas lanjut, beliau berkata, proses sanitasi itu akan dijalankan selama tiga hari bermula esok (11 Feb) hingga 13 Feb.

Ia dilakukan di semua premis di dalam zoo, termasuk kafe, kaunter tiket, pentas persembahan haiwan, pameran haiwan, tempat permainan kanak-kanak, stesen tram dan lain-lain.

Dalam perkembangan lain, Shadan memaklumkan pihaknya akan melaksanakan semula kaedah penggiliran pekerja di pejabat MPHTJ di Melaka Mall.

Beliau memaklumkan, bermula esok, hanya 50 peratus daripada kira-kira 300 pekerja di pejabat sahaja dibenar hadir ke pejabat, manakala bakinya akan bekerja dari rumah (BDR).

“Ini dilakukan bagi tujuan mengekang penularan pandemik COVID-19 memandangkan kes harian semakin tinggi, selain terdapat enam staf kami positif COVID-19, baru-baru ini.

“Walaupun dibuat penggiliran, ia sama sekali tidak menjejaskan perkhidmatan MPHTJ kepada masyarakat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

844
Previous post Jangkitan COVID-19 kanak-kanak di Melaka tinggi
Next post Lelaki ditahan disyaki tipu jual beli baucar penginapan hotel