Jangkitan COVID-19 kanak-kanak di Melaka tinggi
MERLIMAU 10 Feb – Melaka mencatatkan kadar jangkitan virus COVID-19 dalam kalangan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah secara keseluruhan adalah 13.9 peratus atau 11,755 kes sejak 2020.
Exco Kesihatan negeri, Dr Muhammad Akmal Saleh berkata jumlah yang direkodkan di negeri ini agak tinggi daripada jumlah keseluruhan kanak-kanak dijangkiti dalam Malaysia dengan 9.9 peratus.
“(Jumlah) 13.9% ini adalah jauh lebih tinggi daripada jumlah keseluruhan kanak-kanak dijangkiti di dalam Malaysia. Malaysia (merekodkan) 9.9 peratus, tetapi Melaka 13.9%, ini berikutan apabila sekolah dibuka, (wujudnya) kluster pendidikan.
“Apabila anak kita walaupun tak ada kelas tetapi masih lagi ada kes-kes yang terpencil berlaku dalam sekolah yang kita tidak klasifikasikan sebagai kluster,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melakukan tinjauan dan membawa anaknya mendapatkan suntikan vaksin di Pusat Vaksinasi Kanak-Kanak di Merlimau, hari ini.
Dr Muhamad Akmal berkata, setakat semalam Melaka mencatatkan kes kumulatif COVID-19 sebanyak 84,835 kes.
Jelasnya, jumlah itu meliputi 73 kes membabitkan bayi berusia bawah satu bulan manakala 647 kes bagi kanak-kanak satu bulan hingga setahun.
“Selain itu, 3,297 kes melibatkan kanak-kanak berusia satu hingga tiga tahun dan 7,738 kes kanak-kanak berusia tiga hingga 12 tahun.
“Justeru itu, saya bersama Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka menyeru ibu bapa ambil pencegahan awal bagi mengelakkan jangkitan lebih serius dengan mendapatkan vaksinasi kanak-kanak.
“Jadi untuk langkah pencegahan awal lebih elok kita beri vaksinasi walaupun tidak wajib,” katanya.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.