Lelaki ditahan disyaki tipu jual beli baucar penginapan hotel

SEREMBAN, 10 Feb – Polis menahan seorang lelaki kerana disyaki terlibat dalam penipuan jual beli baucar penginapan sebuah hotel yang tidak wujud sehingga melibatkan kerugian RM24,440.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Negeri Sembilan Supt Aibee Abd Ghani berkata bertindak atas maklumat, tangkapan dibuat oleh sepasukan polis daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Nilai ke atas lelaki berumur 56 tahun itu di Ampang, Selangor pada 5 Feb lepas.

“Turut dirampas ialah dua unit telefon bimbit dan sekeping kad ATM Maybank milik suspek. Hasil siasatan mendapati terdapat 13 laporan polis lain bersangkut dengan kes ini dan jumlah kerugian keseluruhan sebanyak RM24,440,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata kertas siasatan telah diserahkan ke pejabat Timbalan Pendakwa Raya Negeri Sembilan dan suspek akan dituduh dalam masa terdekat.

Aibee berkata lelaki tersebut aktif dalam sindiket penipuan itu sejak dua tahun lepas susulan laporan polis diterima oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial, IPD Nilai pada 21 Ogos 2020.

Katanya menurut laporan itu, seorang guru kerugian RM1,214 dalam urusan pernipuan jual beli baucar penginapan Hotel Lexis Hibiscus selepas menyedari baucar diberikan tidak sah dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Orang ramai dinasihatkan tidak terpedaya dengan modus operandi penjualan baucar penginapan hotel yang jauh lebih murah daripada harga asal dan masyarakat perlu membuat semakan terlebih dahulu kepada agensi perhotelan atau agensi pelancongan sebelum membuat pembelian.- BERNAMA

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

245
Previous post Zoo Melaka tutup lima hari
Next post Lelaki didakwa bunuh isterinya di rumah