10,068 saman selesai, lebih RM1 juta hasil dikutip

Masa Membaca:57 Saat

AYER KEROH 28 Mac – Polis Melaka mengutip RM1,152,040 hasil pembayaran saman oleh pesalah trafik bermula Khamis lalu sehingga semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) negeri, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, hasil bayaran pesalah trafik itu dikutip sejak potongan 50 peratus diskaun saman ditawarkan sempena sambutan Hari Polis ke-214 pada 25 Mac lalu.

Katanya, sepanjang tiga hari itu sebanyak 10,068 saman atas pelbagai kesalahan trafik dilangsaikan sama ada secara tunai mahupun menggunakan kad kredit.

“Daripada jumlah itu, 6,499 saman membabitkan kesalahan Pol 170A iaitu kesalahan trafik yang dilakukan oleh kenderaan tanpa kehadiran pemandu atau kesalahan yang dilakukan oleh pesalah trafik tanpa ditahan oleh polis berjaya diselesaikan.

“Manakala bagi kesalahan Pol 257 iaitu saman yang dikeluarkan sendiri oleh anggota polis, sebanyak 3,569 saman berjaya dilangsaikan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Hasan Basri berkata dalam tempoh tiga hari tawaran diskaun yang berakhir semalam, seramai 2,311 orang awam hadir ke kaunter pembayaran trafik di semua pejabat trafik di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) dan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) negeri bagi membayar saman tertunggak.

tamat

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

362
Kongsi :
Previous post MBMB Warriors jaguh futsal Melaka 2021
Next post PGA tahan dua tekong darat, lapan wanita Thailand
Ubah saiz-+=