PGA tahan dua tekong darat, lapan wanita Thailand

Masa Membaca:1 Minit, 34 Saat

KOTA BHARU 28 Mac. – Dua tekong darat serta lapan wanita Thailand ditahan polis dalam dua serbuan berasingan di Pasir Mas dan Tumpat pada 26 dan 27 Mac.

Pegawai Pemerintah Batalion Ke-9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) Superintendan Nor Azizan Yusof berkata kesemua wanita berusia 24 hingga 39 tahun yang ditahan itu dipercayai masuk melalui laluan tidak sah di sempadan Malaysia-Thailand.

Menurutnya dalam kejadian pertama pada 11 malam, Jumaat lalu, sepasukan anggota PGA yang membuat rondaan menahan sebuah Proton Wira yang dipandu oleh seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun dalam keadaan mencurigakan di Kampung Kubang Kual, Pasir Mas.

Katanya, pemeriksaan yang dilakukan mendapati ada empat wanita Thailand di dalam kenderaan yang mempunyai pasport yang sudah tamat tempoh.

“Pemeriksaan lanjut yang dilakukan mendapati wanita itu memasuki negara ini melalui pangkalan haram sekitar Rantau Panjang dan lelaki tempatan itu berperanan sebagai tekong darat membawa mereka ke lokasi tertentu.

Semua yang terlibat ditahan dan dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan lanjut,” katanya.

Susulan kejadian itu, Nor Azizan berkata pasukannya kemudian melakukan serbuan ke sebuah chalet di Kampung Paya Pasir dekat Wakaf Bharu, Tumpat pada 5 pagi semalam.

Beliau berkata dalam serbuan itu pihaknya telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 59 tahun di hadapan sebuah chalet.

“Siasatan yang dilakukan membawa kepada penemuan empat wanita Thailand yang ditempatkan di dalam sebuah chalet yang juga tidak mempunyai sebarang dokumen.

“Kami juga turut merampas sebuah Honda City berdekatan lokasi kerana disyaki digunakan dalam kegiatan itu,” katanya.

Jelasnya, kes akan disiasat di bawah Seksyen 26J Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63.

“Kesemua wanita Thailand tersebut dipercayai akan memenuhi sektor pekerjaan di negara ini ekoran kerajaan Malaysia telah melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sektor ekonomi negara telah dibuka sepenuhnya mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1338
Kongsi :
Previous post 10,068 saman selesai, lebih RM1 juta hasil dikutip
Next post KPN arah semua ketua polis daerah teliti, jaga kebajikan anggota
Ubah saiz-+=