10,458 calon SPM layak dapat sijil, GPN naik 4.59 mata

Masa Membaca:1 Minit, 22 Saat

AYER KEROH 27 Mei – Gred Purata Negeri (GPN) Melaka bagi keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 menunjukkan kepada 4.59 mata.

Pengarah Pendidikan Negeri Melaka, Mohd Ghazali Ahmad berkata, GPN tahun ini meningkat sebanyak 0.18 mata berbanding 4.77 mata bagi 2022.

Mohd Ghazali berkata, peningkatan itu menunjukkan sebanyak 44 sekolah di Negeri Melaka berjaya mencatat GPN lebih baik daripada 5.00 mata.

“Sementara itu bilangan sekolah mencapai 100 peratus Layak Menerima Sijil juga menunjukkan peningkatan iaitu sebanyak 21 sekolah berbanding 16 sekolah tahun sebelumnya.

“Seramai 10,458 (95.53 peratus) calon daripada 10,947 calon sekolah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menduduki peperiksaan SPM berjaya mendapat sijil berbanding seramai 10,151 (94.20 peratus) calon pada tahun 2022.

“Bagi calon yang mendapat A untuk semua mata pelajaran pula adalah seramai 336 orang (3.1 peratus) berbanding seramai 243 orang (2.3 peratus) pada tahun 2022,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengumumkan Keputusan Peperiksaan SPM 2023 Negeri Melaka yang dihadiri Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Datuk Rahmad Mariman di Jabatan Pendidikan Negeri Melaka di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata Gred Purata Daerah SPM 2023 bagi ketiga-tiga daerah di negeri ini juga menunjukkan peningkatan.

“Daerah Jasin menunjukkan peningkatan sebanyak 0.33 mata iaitu 4.23 mata berbanding 4.56 mata pada tahun 2022, manakala daerah Melaka Tengah menunjukkan peningkatan 0.16 mata iaitu 4.57 mata tahun ini berbanding 4.73 mata tahun 2022.

“Diikuti daerah Alor Gajah peningkatan sebanyak 0.14 mata iaitu 4.92 mata berbanding tahun 2022 iaitu 5.06 mata bagi gred ini,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

596
Kongsi :
Previous post 11,713 calon SPM peroleh semua A – KP Pendidikan
Next post Institusi TVET alternatif pelajar kurang cemerlang SPM
Ubah saiz-+=