10,752 nikmati tawaran Bila Larut Malam

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

BANDA HILIR 2 Jun – Seramai 10,752 pengunjung dan pelancong telah menikmati tawaran istimewa bersempena inisiatif Melaka Bila Larut Malam yang diadakan malam tadi.

Pejabat Ketua Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan jumlah itu membabitkan data kehadiran pengunjung ke enam produk pelancongan yang menawarkan tiket masuk pada harga istimewa RM10.

Menurut kenyataan itu, Zoo Melaka merekodkan kehadiran pelawat tertinggi iaitu seramai 4,120 orang, diikuti Melaka River Cruise dengan 3,896 orang.

“Selain itu, Menara Taming Sari merekodkan 1,357 pengunjung; Muzium Penjara 770 pengunjung; Panggung Bangsawan Melaka 320 pengunjung dan muzium-muzium di bawah Perbadanan Muzium Melaka seramai 289 orang.

“Jumlah itu, bagaimanapun tidak merangkumi kehadiran luar biasa pengunjung dan pelancong di kawasan Zon Bebas Kenderaan Banda Hilir yang mana secara keseluruhan dianggarkan lebih 30,000 telah menyertai inisiatif Bila Larut Malam,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, Ketua Menteri Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh telah mengadakan ‘walkabout’ ke tempat-tempat pelancongan yang menyertai inisiatif Bila Larut Malam yang diadakan pada Sabtu pertama setiap bulan.

Ketua Menteri sempat beramah-mesra dengan pengunjung dan pelancong yang hadir, di samping menyantuni peniaga dan pengayuh beca yang turut mendapat limpahan ekonomi daripada inisiatif berkenaan.

Pada acara kemuncak di Bangunan Stadthuys, Ab Rauf turut menyaksikan lintas langsung dari Zoo Melaka, Panggung Bangsawan, Menara Taming Sari, Melaka River Cruise, Muzium Samudera dan Muzium Penjara.

Orang ramai turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian daripada Siti Nordiana dan Yasser Atak, selain pertunjukan bunga api yang menambahkan lagi kemeriahan suasana Bila Larut Malam.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

164
Kongsi :
Previous post 800 motosikal klasik promosi Malaysia Bike Week 2024
Next post Melaka Bila Larut Malam: Pengunjung puas, teruja, seronok
Ubah saiz-+=