MTHQK: Melaka bawa pulang tiga kemenangan

Masa Membaca:1 Minit, 4 Saat

AYER KEROH 29 Mei – Melaka membawa pulang tiga kemenangan pada Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Kebangsaan (MTHQK) 1444H / 2024M, semalam.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman memaklumkan, kejayaan itu diraih menerusi hafazan lelaki yang mana Melaka meraih johan dan tempat ketiga dalam tiga kategori yang dipertandingkan.

“Hafiz Melaka, Abdullah Afif Mohd Arifin diumum johan bagi kategori Hafazan Lelaki (1-10 Juzuk).

“Ia diikuti dua kejayaan meraih tempat ketiga masing-masing dalam kategori Hafazan Lelaki (1-20 Juzuk) dan Hafazan Lelaki (1-30 Juzuk).

“Tahniah dan syabas diucapkan kepada Hafiz Melaka yang membawa pulang tiga kemenangan,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook rasminya.

Pada majlis itu, Qari dari Negeri Sembilan Mohamad Husaini Mahmur dan Nor Hidayah Abd Rahman dari Terengganu diumum sebagai johan qari dan qariah tahun 2024.

Kedua-dua mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM20,000 dan wang tunai RM10,000 bagi menunaikan ibadah haji, piala, cenderamata serta sijil.

Pada majlis yang berlangsung di Auditorium Darul Makmur, Kompleks Penyiaran Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan Pahang itu, Negeri Sembilan turut diumum johan keseluruhan tahun ini.

Perasmian Penutupan MTHQK itu disempurnakan oleh Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

377
Kongsi :
Previous post Shaifulfazlee komited tambah baik fungsi, budaya kerja MAIM
Next post Bunga Rustic tawar pelamin bajet, tapi sempurna
Ubah saiz-+=