124,988 peserta terlibat dalam pertanian bandar sejak 2014 – Ronald Kiandee

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

JASIN 4 Julai – Seramai 124,988 peserta meliputi 5,065 lokasi terlibat dalam pelbagai program dan kategori melalui pengamalan teknologi pertanian moden dan konvensional setakat ini.

Penglibatan itu direkodkan Bahagian Pertanian Bandar di Jabatan Pertanian Malaysia sejak ia ditubuhkan pada tahun 2014.

Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, sepanjang Rancangan Malaysia Ke-11 (2016-2019) seramai 93,937 peserta meliputi 3,815 lokasi terlibat dalam Program Pertanian Bandar dan Melaka mencatatkan seramai 8,010 peserta dalam program ini.

“Kajian impak Program Pertanian Bandar Jabatan Pertanian tahun 2017 mendapati anggaran penjimatan RM108 sebulan bagi peserta yang terlibat dalam program ini.

“Justeru, kerajaan yakin dengan pelaksanaan pertanian bandar ini dapat bantu mengurangkan kos sara hidup, memberi peluang pekerjaan dan menjana pendapatan tambahan.

“Ini bagi membantu rakyat Malaysia khususnya penduduk bandar dan pinggir bandar yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi membendung penularan wabak COVID-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Walkabout dan Sesi Engagement Bersama PPR Tehel di PPR Tehel, hari ini.

Ujarnya, melalui usaha itu kerajaan memperakukan peruntukan dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) untuk memberi sumbangan in-kind.

“Ia meliputi benih, baja, infrastruktur, peralatan, khidmat nasihat dan lain-lain bernilai RM500 bagi penerima individu dan RM50,000 bagi setiap komuniti,” katanya.

Views:

396
Kongsi :
Previous post Program Kebuniti: RM900,000 buat rakyat Melaka
Next post KM luangkan masa bersama penduduk Bukit Katil
Ubah saiz-+=