13,134 pelajar di Melaka mula duduki SPM hari ini

Masa Membaca:1 Minit, 19 Saat

BUKIT KATIL 2 Mac – Seramai 13,134 calon menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di 102 pusat peperiksaan di seluruh Melaka bermula hari ini.

EXCO Pendidikan negeri, Datuk Rais Yasin berkata, daripada jumlah itu 86.4 peratus atau 11,352 calon adalah daripada sekolah kerajaan, sekolah bantuan kerajaan dan sekolah agama bantuan kerajaan.

Beliau berkata, bakinya melibatkan calon sekolah dibawah agensi kerajaan, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Sekolah Menengah Agama Negeri (SMAN), calon swasta dan calon persendirian.

“Daripada jumlah keseluruhan calon tersebut, terdapat seramai 72 calon berkeperluan khas yang turut menduduki peperiksaan SPM 2021.

“Seramai 1,420 petugas peperiksaan dilantik bagi memastikan peperiksaan berjalan lancar mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Katil dan menyatuni calon SPM sekolah itu.

Seramai 236 pelajar sekolah tersebut mengambil peperiksaan SPM 2021 dengan seorang calon daripadanya merupakan pelajar berkeperluan khas.

Menurut Rais, calon SPM yang tidak dapat mengambil ujian bertutur, ujian mendengar dan ujian amali termasuk ujian bertulis disebabkan positif COVID-19 atau dikuarantin kemungkinan dibenarkan mengambilnya pada April ini.

Katanya, setakat ini, semua pusat peperiksaan SPM di sekolah kerajaan dan sekolah bantuan di seluruh negeri beroperasi seperti biasa tanpa ada penutupan premis oleh Jabatan Kesihatan negeri atau Pusat Kesihatan daerah.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan pelajar agar merujuk jadual peperiksaan SPM 2021 untuk maklumat mengenai tarikh, masa, kod dan kertas peperiksaan serta arahan yang perlu dipatuhi semasa peperiksaan berlangsung.

SPM 2021 bermula 2 hingga 29 Mac dengan pematuhan SOP yang ketat.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1328
Kongsi :
Previous post Isu BAM, pelajar sekolah wajib vaksin antara tumpuan Parlimen hari ini
Next post 1,915 lot tanah terbiar perlu dibangunkan pertanian
Ubah saiz-+=