
14 pintu masuk Melaka berwajah baharu, lebih ceria
SERI NEGERI 6 Mac – Kesemua pintu masuk membabitkan tiga daerah di Melaka telah diceriakan dari aspek kebersihan dan pencahayaan bagi menarik kemasukan pelancong sempena Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024).
Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri, Datuk Wira Abdul Razak Abdul Rahman berkata, sebanyak tujuh pintu masuk telah diceriakan pihak berkuasa tempatan (PBT) terlibat dengan mengindahkan prasarana seperti pintu gerbang, papan tanda dan bulatan.
Katanya, menerusi Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG) sebanyak enam pintu masuk di daerah itu telah diindahkan dengan pemasangan papan tanda dan pengindahan landskap ‘Selamat Datang Ke Melaka’ antaranya di persimpangan Kendong da Simpang Tebong.
“MPAG juga telah melaksanakan pencahaayan lampu hiasan di Bulatan Simpang Ampat, Pulau Sebang, Kendong dan Kuala Linggi.
“Bagi Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) sebanyak tujuh pintu masuk telah diindahkan seperti di Lebuh Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) di Sungai Rambai, Asahan dan Jementah.
“Manakala dalam pentadbiran Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) kawasan yang diberikan tumpuan merangkumi di persimpangan Tol Syer Keroh, Pintu Gerbang Ayer Keroh, Persimpangan Kota Cemerlang, Leypark Station dan kedua bulatan di Seri Negeri dan Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Datuk Seri Utama Sulaiman Md Ali (BN-Lendu) pada Persidangan Pertama Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri Melaka Yang Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, di sini, hari ini.
Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.