14 projek pertanian berteraskan IR 4.0

Masa Membaca:1 Minit, 18 Saat

AYER KEROH 13 Oktober – Sebanyak 14 projek pertanian berteraskan penggunaan teknologi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0) akan diperluaskan di Negeri Melaka tahun ini.

Timbalan Exco Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Low Chee Leong berkata, perkara itu juga bertujuan untuk menggalakkan petani serta penternak di Melaka beralih kepada penggunaan teknologi berbanding kaedah konvensional diamalkan ketika ini.

Chee Leong berkata, penggunaan teknologi mampu membantu meningkatkan hasil tuaian dan memudahkan aspek pengurusan ternakan.

“Terdapat 14 projek yang menggunakan teknologi IR 4.0 akan dibangunkan di seluruh daerah di Melaka pada tahun ini meliputi tiga sub sektor pertanian membabitkan tanaman, ternakan dan perikanan.

“Sebanyak 10 projek akan ditumpukan dalam sub sektor tanaman manakala empat lagi ditumpukan kepada bidang akuakultur. Kita akan beri bantuan, peralatan berteknologi dan latihan kepada petani yang terlibat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini selepas merasmikan Program Digital AgTech @Melaka by MDEC di Auditorium Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), di sini, hari ini.

Pada program sama turut dihadiri kira-kira 100 petani dari seluruh Melaka bagi mendengar taklimat mengenai perkembangan teknologi untuk diamalkan dalam sektor pertanian di negeri ini.

“Kita harap teknologi ini dapat membantu petani menambahkan hasil tuaian mereka kerana krisis atau isu yang kita hadapi sekarang lebih menjurus kepada sekuriti makanan. Masalah ini bukan sahaja berlaku di Malaysia malah seluruh dunia yang berdepan pelbagai isu politik dan peperangan.

“Perkara ini semua akan mempengaruhi bekalan diperlukan rakyat, jadi saya berharap ia mampu dikembangkan di Melaka bagi menjamin masa depan sektor pertanian dan memenuhi keperluan rakyat,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1289
Kongsi :
Previous post MISDEC pilihan anak muda kuasai TVET
Next post Hari Bertemu Rakyat DUN Kota Laksamana 28 Oktober depan
Ubah saiz-+=