Padah simpan minuman keras, rokok seludup

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 19 Jan. – Sebanyak 331 botol dan 31 karton minuman keras pelbagai jenama telah dirampas Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka, dalam satu serbuan baru-baru ini.

Serbuan yang dijalankan di premis sekitar Melaka Raya dan Ujong Pasir itu turut menemui 87 karton rokok seludup yang dipercayai dijual untuk pasaran tempatan.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Melaka Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, hasil daripada serbuan itu pihaknya turut menahan dua lelaki dan seorang wanita warga tempatan berumur dalam lingkungan 21 hingga 28 tahun.

“Kita telah bertindak berdasarkan maklumat dan daripada serbuan seorang daripada mereka yang ditahan bekerja sebagai peniaga minuman keras, manakala dua lagi tidak bekerja.

“Hasil semakan kita mendapati ketiga-tiga yang ditahan tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau. Bagaimanapun kita masih menyiasat rangkaian penyeludupan yang berlaku,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut, beliau berkata nilai keseluruhan rampasan bagi kesemua barangan itu dianggarkan bernilai RM53,907.

Kes disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 yang mana jika sabit kesalahan boleh dipenjara tidak lebih lima tahun atau denda tidak lebih RM50,000 atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan pertama.

Manakala bagi kesalahan kedua boleh dipenjara tidak lebih dua tahun dan sebatan.

Views:

377
Kongsi :
Previous post Operasi Tabika Perpaduan seluruh negara ditutup sepanjang PKP 2.0
Next post PERMAI hadir tepat pada masanya – Sulaiman
Ubah saiz-+=