Sorting by

×

15 ‘gadis kalung bunga’ warga asing ditahan

Masa Membaca:1 Minit, 16 Saat

BANDARAYA MELAKA 14 September – Seramai 15 wanita warga asing disyaki bekerja sebagai penari dan pelayan pelanggan ditahan di sebuah premis di Taman Melaka Raya dalam serbuan Ops Gegar di sini, semalam.

Serbuan bermula pada jam 10.30 malam itu membabitkan seramai 25 anggota Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka.

Pengarah Imigresen negeri, Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, serbuan itu dilakukan selepas menerima aduan orang awam dan hasil risikan mendapati wanita warga asing berkenaan menggunakan pas lawatan kerja sosial untuk bekerja di premis berkenaan.

Katanya, dalam operasi berkenaan seramai 45 individu termasuk pelanggan diperiksa dan daripada jumlah itu lima lelaki warga Bangladesh ditahan kerana melanggar syarat permit dan tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah.

“Turut ditahan dan melakukan kesalahan sama, 15 wanita warga Thailand manakala lima lagi lelaki warga Bangladesh ditahan kerana disyaki melanggar syarat permit dan tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan sah.

“Wanita warga asing terbabit disyaki menjadi ‘penarik’ dengan dijadikan gadis kalung bunga selain bekerja sebagai penari serta pelayan pelanggan.

“Mereka menerima upah serendah RM200 hingga RM1,000 mengikut pakej (layanan) ditawarkan,” katanya.

Mengulas lanjut, ketika serbuan itu, beberapa warga asing bertindak cuba melarikan diri melalui pintu belakang dan ada juga yang leka berhibur.

“Bagaimanapun, anggota operasi dapat mengawal keadaan dan kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 55B, dan Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

“Dalam operasi itu, anggota operasi turut mengeluarkan12 Borang 29 (saman saksi) ke atas pelanggan bagi membantu siasatan lanjut,” katanya.

 

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

3884
Kongsi :
Previous post Kembara rentas desa semarak semangat patriotisme
Next post MPAG gempur kedai tomyam ‘tidak suci’
Ubah saiz-+=