Sorting by

×

Kembara rentas desa semarak semangat patriotisme

Masa Membaca:1 Minit, 3 Saat

AYER KEROH 14 September – Seramai 50 peserta terdiri daripada warga kerja Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) Negeri Melaka menyertai program Kembara Merdeka Desa Madani 2023, hari ini.

Program membabitkan 45 buah motosikal dan empat kereta itu mengembara sejauh 80 kilometer (km) membabitkan empat ‘checkpoint’ di daerah Jasin dan Melaka Tengah.

Pengarah KEMAS Negeri Melaka Rozkhaidi Othman berkata, kembara itu merupakan julung kali diadakan dengan penglibatan masyarakat, peserta KEMAS dan penduduk setempat.

Jelas beliau, program itu diadakan bertujuan memupuk dan menyemarakkan semangat patriotisme dalam kalangan komuniti desa, selain meningkatkan keyakinan sokongan mereka terhadap program serta aktiviti oleh kerajaan.

“Selain itu, menerusi program ini juga, KEMAS dapat memberi pendedahan dan menyemai kecintaan kepada negara dengan cara yang berbeza.

“Malah, dengan program seperi ini, kita juga dapat melaksanakan aktiviti kemasyarakatan dengan penglibatan premis-premis KEMAS yang terpilih sebagai pemangkin perubahan minda masyarakat luar bandar.

“Untuk program ini, peserta kembara telah bermula di Menara Persekutuan dan singgah ke tiga ‘checkpoint’ iaitu Kampung Ku Sayang Bukit Baru, Masjid Ar-Rahim Merlimau Tengah dan Pusat Kegiatan Masyarakat Selandar,” katanya.

Menurut beliau, selain berkonvoi, peserta program turut melakukan beberapa aktiviti kemasyarakatan seperti menyampaikan sumbangan bakul makanan kepada penerima kurang bernasib baik dan gotong-royong membersihkan masjid serta Tabika KEMAS.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1005
Kongsi :
Previous post Dari Beijing ke Melaka, suri rumah johan pidato
Next post 15 ‘gadis kalung bunga’ warga asing ditahan
Ubah saiz-+=