1,864 babi Paya Mengkuang dijangkiti Demam Babi Afrika dilupuskan

Masa Membaca:1 Minit, 6 Saat

PUTRAJAYA 8 Jan – Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) telah melupuskan sebanyak 1,864 ekor babi yang disahkan positif Demam Babi Afrika (ASF) dari Melaka setakat 7 Jan.

Ketua Pengarah Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Norlizan Mohd Noor, berkata, jumlah itu merupakan ternakan dari 16 ladang komersial di Paya Mengkuang, Masjid Tanah.

Jelasnya, pemusnahan babi tersebut bagi mengawal dan mencegah penyakit ASF daripada merebak.

JPV juga ujarnya, telah menguatkuasakan ‘stamping out policy’ menerusi pemusnahan babi ladang yang telah disahkan positif ASF.

“Pemusnahan babi yang positif ASF menggunakan kaedah gas CO2 (high concentration) berasaskan garis panduan Kod Amalan Kebajikan Haiwan iaitu Pengurusan Pelupusan Haiwan, sebelum ditanam secara sempurna.

“Aktiviti pemantauan, pemeriksaan klinikal dan persampelan semua ladang ternakan babi di Paya Mengkuang terus aktif dijalankan bagi mengesan jangkitan penyakit ASF itu di semua 35 ladang babi di kawasan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Norlizan berkata, aktiviti pemantauan dan pemeriksaan juga telah diaktifkan di semua ladang-ladang penternakan babi di seluruh negara.

“Penternak dan orang awam diminta segera melaporkan sebarang kematian pada babi hutan, babi kampung atau babi komersial kepada Pejabat Perkhidmatan Veterinar Daerah (PPVD).

“Orang ramai juga boleh juga melaporkan ke Pejabat Perkhidmatan Veterinar Negeri yang berdekatan atau menerusi hotline Bilik Pengurusan Krisis Penyakit, Ibu Pejabat Perkhidmatan Veterinar Putrajaya di talian 03-88702041,” katanya.

Langgani saluran Telegram kami untuk dapatkan berita-berita yang terkini.

Views:

1873
Kongsi :
Previous post Penduduk lega banjir di Muar mulai surut
Next post Banjir: 341 mangsa masih berkampung di PPS Jasin
Ubah saiz-+=